fb fb fb fb fb

Usaha diplomatik dengan China tidak diendahkan - Ferdinand Marcos Jr.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. ketika menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun ke-50 di Tokyo / Foto AFP

MANILA, 19 Disember - Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. berkata "anjakan paradigma" diperlukan dalam cara negaranya mendekati isu Laut China Selatan, kerana usaha diplomatik dengan Beijing menuju "ke arah yang tidak baik".

Marcos, dalam temu bual dengan media Jepun pada 16 Disember dan sebahagian daripadanya telah dikongsikan dengan media Filipina pada Isnin, berkata usaha diplomatik tradisional tidak diendahkan oleh China, menurut kenyataan Istana Presiden.

"Setakat ini, kami telah menggunakan kaedah diplomasi tradisional dan kami telah melakukan ini selama bertahun-tahun sekarang dengan kemajuan yang sangat sedikit," kata Marcos, yang berada di Jepun untuk Sidang Kemuncak Peringatan Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun ke-50.

“Sudah tiba masanya negara-negara yang merasakan bahawa mereka terlibat dalam situasi ini, kita perlu membuat anjakan paradigma,” kata Marcos, sambil mengulangi Filipina mahu mengelak konflik yang ganas.

Beliau menambah kerajaannya akan terus berbincang dengan rakan kongsinya dan mengemukakan pendirian bersama menyatakan tanggungjawab mereka setakat Laut Filipina Barat.

Filipina merujuk bahagian Laut China Selatan dalam zon ekonomi eksklusifnya sebagai Laut Filipina Barat.

Minggu lalu, Manila dan Beijing bertukar-tukar tuduhan berhubung perlanggaran kapal mereka berhampiran beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan ketika ketegangan mengenai tuntutan di laluan air penting itu semakin memuncak.

Selain Filipina, anggota Asean Vietnam, Malaysia dan Brunei mempunyai tuntutan bertindih dengan China di bahagian Laut China Selatan, saluran untuk lebih AS$3 trilion (RM14 trilion) perdagangan tahunan bawaan kapal.

Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 berkata dakwaan China tidak mempunyai asas undang-undang, keputusan yang disokong oleh Amerika Syarikat tetapi ditolak oleh Beijing.

Tiada sebarang komen segera daripada Kedutaan China di Manila.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN