fb fb fb fb fb

Muzium terbuka pamer aset tentera Russia musnah, rosak

Foto AFP

(Seorang lelaki berpakaian seragam tentera Ukraine dan seorang wanita berjalan melepasi peralatan tentera Rusia yang musnah di
jalan Khreshchatyk yang telah dijadikan muzium tentera terbuka menjelang Hari Kemerdekaan Ukraine pada 24 Ogos / Foto AFP)

 

KYIV, 22 Ogos- Puluhan kereta kebal dan kenderaan tentera Russia yang musnah dalam operasi ketenteraan khas Moscow di Ukraine, dipamerkan di sekitar jalanan di pusat bandar Kyiv.

Malah, kawasan pusat bandar itu kelihatan seperti muzium terbuka dengan menampilkan barisan kereta kebal yang terbakar dan ditawan, ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine terus berlangsung.

Penduduk tempatan mengunjungi kawasan jalan Khreshchatyk untuk menyaksikan puluhan kenderaan tentera yang diletakkan di tengah jalan.


(Orang ramai melihat peralatan tentera Rusia yang musnah di jalan Khreshchatyk di Kyiv pada 20 Ogos 2022, yang
telah dijadikan muzium tentera terbuka menjelang Hari Kemerdekaan Ukraine pada 24 Ogos ini / Foto AFP)

Gambar tular yang memaparkan sejumlah besar senjata berkarat merupakan petunjuk baharu kegagalan Russia menawan Kyiv.

Ia berlaku ketika Britain mempersendakan ‘prestasi buruk’ pasukan tentera Russia berikutan data menunjukkan lebih 44,000 tentera Kremlin terbunuh dan kira-kira 1,800 kereta kebal musnah.

Menurut laporan risikan harian Kementerian Pertahanan, Moscow kehilangan sejumlah besar kereta kebal tempur kerana tidak dilengkapi dengan teknologi perisai reaktif bahan letupan atau ERA.

“ERA mengurangkan keberkesanan peluru yang dilancarkan sebelum terkena tangki.

“Ini menunjukkan tentera Russia gagal mengubah budaya penggunaan ERA lemah yang sudah bermula sejak Perang Chechen Pertama pada tahun 1994.

“Malah, kemungkinan besar ramai kru kereta kebal Russia tidak memperoleh latihan mencukupi untuk mengekalkan ERA sehingga menjurus kepada sama ada pemasangan komponen letupan yang kurang baik atau dihentikan sepenuhnya,” jelas laporan itu.

Data dari blog tentera, Oryx yang menjejaki kerugian Russia sejak permulaan konflik di Ukraine pula melaporkan lebih 5,000 kenderaan tentera Moscow sama ada dimusnahkan, dirosakkan atau dirampas.

Jumlah itu merangkumi lebih 3,000 kereta kebal milik tentera Russia.- AFP

Media Baharu