fb fb fb fb fb

Sesi persekolahan di Filipina dibuka semula selepas lebih dua tahun

(Para Pelajar menghadiri upacara menaikkan bendera
di Sekolah Rendah Pedro Guevarra/AFP)

MANILA, 22 Ogos- Jutaan kanak-kanak di Filipina kembali ke sekolah ketika sesi pembelajaran bersemuka dibuka kembali, sejak wabak COVID-19 melanda.

Filipina menjadi antara salah satu negara terakhir di dunia mula menyambung pelajaran sepenuh masa, secara bersemuka, yang sebelum ini mencetuskan amaran krisis pendidikan di negara itu akibat penutupan bilik darjah.

Di Sekolah Rendah Pedro Guevara di Manila, yang menutup bilik darjah sejak Mac 2020, kelihatan kanak-kanak memakai pelitup muka dan berpakaian seragam sedang berbaris untuk pemeriksaan suhu dan memakai pembersih tangan.

Sekolah itu masih mengguna pakai sistem hibrid pembelajaran secara bersemuka dan secara online dan akan memastikan hampir 6,000 pelajarnya kembali ke kelas bersemuka menjelang November ini - tarikh akhir yang ditetapkan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr sejurus selepas beliau memegang jawatan dua bulan lalu.

Pelajar tahun enam, Sophia Macahilig berkata, dia 'teruja' untuk bertemu rakan sekelas dan gurunya selepas dua tahun pelajaran Zoom.

"Dulu kami berseronok dan kini saya boleh berseronok semula," katanya yang berusia 11 tahun kepada AFP.

Namun, ramai pelajar mempunyai banyak perkara untuk dikejar dalam pembelajaran untuk dilakukan.

Malah, Bank Dunia dan agensi lain sebelum ini melaporkan, sembilan daripada 10 kanak-kanak Filipina 'tidak dapat membaca teks mudah dengan pemahaman' pada usia 10 tahun.

Hanya 10 negara berada dalam situasi itu termasuklah Afghanistan, Laos, Chad dan Yaman.

 

(Pelajar pada hari pertama kelas secara bersemuka di Sekolah Rendah
Pedro Guevarra di Manila pada 22 Ogos 2022/AFP)

Ketika sekolah Filipina ditutup, program 'pembelajaran gabungan' membabitkan kelas dalam talian, bahan bercetak dan pembelajaran yang disiarkan di televisyen serta media sosial diperkenalkan.

Apabila kelas bersemuka disambung semula, masalah lama dijangka berterusan iaitu saiz kelas yang besar, kaedah pengajaran yang lapuk, kemiskinan, dan kekurangan infrastruktur asas - seperti tandas - dipersalahkan kerana menyumbang kepada krisis pendidikan.

Guru sains Pedro Guevara, Ethel Tumanan, 32, berkata, dia bimbang pelajar terlepas pembelajaran berharga sejak dua tahun lalu.

"Sebagai seorang guru, kami memang lebih suka bersemuka, sekurang-kurangnya kamilah yang boleh mengukur dan menilai di mana tahap anak murid kami berada," katanya.

Menjelang pembukaan semula bilik darjah, kerajaan meningkatkan usaha vaksinasi dan akan menyediakan pengangkutan awam percuma kepada pelajar sehingga akhir tahun kalendar.

Kelmarin, kerajaan mula menghulurkan bantuan tunai kepada pelajar dan ibu bapa yang bergelut untuk menampung perbelanjaan sekolah dan ia mengakibatkan adegan huru-hara di luar pusat pengedaran.

Di bandar Zamboanga, 29 individu cedera apabila beberapa ribu orang cuba menolak melalui pintu pagar sebuah sekolah menengah. -AFP

Media Baharu