(Penunjuk perasaan Korea Selatan mengadakan perhimpunan menentang latihanketenteraan bersama
antara Korea Selatan danAmerika Syarikat di hadapan Memorial Perang Korea di Seoul/AFP)
SEOUL, 22 Ogos- Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan ketenteraan gabungan terbesar mereka sejak 2018, Seoul mengesahkan hari ini.
Langkah itu mungkin menimbulkan kemarahan Korea Utara yang kini sedang meningkatkan ancaman nuklearnya.
Washington adalah sekutu keselamatan utama Seoul dan menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan untuk melindunginya daripada jirannya yang bersenjata nuklear.
Kedua-dua negara itu sudah lama menjalankan latihan bersama, yang ditegaskan hanya sebagai pertahanan semata-mata, namun Korea Utara melihatnya sebagai latihan untuk pencerobohan.
Latihan Ulchi Freedom Shield menandakan penyambungan semula sesi latihan berskala besar selepas ia dikurangkan kerana COVID-19 dan dijangka akan menggagalkan diplomasi dengan Pyongyang.
"Kepentingan latihan bersama ini adalah untuk membina semula pakatan Korea Selatan-AS dan mengukuhkan postur pertahanan gabungan dengan menormalkan latihan gabungan dan latihan lapangan," kata kementerian pertahanan.
Butiran latihan yang dijalankan bermula hari ini hingga 1 September belum dikeluarkan tetapi ia membabitkan latihan lapangan yang membabitkan pesawat, kapal perang dan kereta kebal - dengan puluhan ribu tentera.
Semasa mesyuarat minggu lalu, sekutu turut bersetuju untuk 'memperluaskan skop dan skala gabungan latihan dan latihan ketenteraan' dengan menyatakan peningkatan jumlah ujian peluru berpandu Korea Utara.
(Penunjuk perasaan Korea Selatan memegang sepanduk bertulis "Hentikan latihan ketenteraan
bersama!"semasa tunjuk protes latihan ketenteraan bersama antara Korea Selatan dan
Amerika Syarikat di hadapan Memorial Perang Korea di Seoul/AFP)
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, ia bermula dengan Ulchi Freedom Shield, bagi meningkatkan kesediaan gabungan.
Penganalisis berkata, Korea Utara mungkin menggunakan latihan itu sebagai alasan untuk menjalankan lebih banyak ujian senjata.
Awal bulan ini, Pyongyang memberi amaran bahawa mereka akan 'menghapuskan' pihak berkuasa Seoul, yang dipersalahkan sebagai punca perebakan wabak COVID-19 di negara terpencil itu.
Ancaman itu hadir kurang sebulan selepas Kim Jong Un berkata, negaranya 'bersedia untuk menggerakkan' keupayaan nuklearnya dalam sebarang peperangan dengan AS dan Korea Selatan.
Korea Utara menjalankan beberapa ujian penghapusan sekatan tahun ini, termasuk menembak peluru berpandu balistik antara benua pada jarak penuh buat kali pertama sejak 2017.
Pegawai Washington dan Seoul juga telah memberi amaran bahawa rejim terpencil itu sedang bersedia untuk melaksanakan ujian nuklear ketujuhnya. - AFP