fb fb fb fb fb

MSF bimbang situasi pembunuhan berterusan di El-Fasher

Foto AFP

GENEVA, 1 November -Pertubuhan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan atau Medecins Sans Frontieres (MSF) pada Sabtu

menyuarakan kebimbangan terhadap situasi pembunuhan di bandar El-Fasher, Sudan.

Ribuan penduduk dilaporkan telah melarikan diri dari El-Fasher selepas bandar itu jatuh ke tangan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 26 Oktober.

Dalam satu kenyataan, MSF mengecam “pembunuhan dan kekejaman besar-besaran yang tidak berperikemanuasiaan, sama ada secara rawak mahupun berasaskan etnik” yang berlaku di dalam dan sekitar bandar tersebut sepanjang minggu ini.

"Ramai penduduk masih berada dalam bahaya besar dan dihalang oleh RSF serta sekutunya daripada melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat seperti Tawila, tempat kami beroperasi,” kata pertubuhan itu.

Namun, menurut Ketua Operasi Kecemasan MSF, Michel Olivier Lacharite, bilangan pelarian yang tiba di Tawila “tidak sepadan dengan jumlah sebenar penduduk El-Fasher,” manakala laporan tentang kekejaman berskala besar terus meningkat.

"Ke mana perginya semua mereka yang telah bertahan berbulan-bulan menghadapi kebuluran dan keganasan di El-Fasher?" soal Lacharite.

"Jawapan yang paling mungkin, walaupun menakutkan ialah mereka sedang dibunuh, dihalang, atau diburu ketika cuba melarikan diri," katanya.

Beberapa saksi memberitahu MSF bahawa kira-kira 500 orang awam, bersama anggota Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Bersatu yang berpihak kepada tentera, telah cuba melarikan diri pada 26 Oktober, namun kebanyakan mereka dibunuh atau ditangkap oleh RSF dan sekutunya.

Mangsa yang terselamat melaporkan bahawa orang awam dipisahkan mengikut jantina, umur, dan latar etnik, sementara ramai masih ditahan untuk tebusan. - AFP

TETITIA YUSOFF