PORT SUDAN, 1 November -Imej satelit terbaharu menunjukkan pembunuhan besar-besaran berkemungkinan masih berterusan di dalam dan sekitar bandar El-Fasher, menurut penyelidik dari Universiti Yale.
Dalam laporan yang diterbitkan pada Jumaat, Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Universiti Yale menyatakan bahawa imej satelit baharu menunjukkan sebahagian besar penduduk mungkin telah "mati, ditangkap atau bersembunyi".
Makmal itu mengenal pasti sekurang-kurangnya 31 kelompok objek yang dipercayai konsisten dengan mayat manusia, ditemui antara Isnin hingga Jumaat di kawasan kejiranan, sekitar universiti dan tapak ketenteraan.
"Petunjuk bahawa pembunuhan besar-besaran masih berlaku jelas kelihatan," kata laporan tersebut.
Penduduk yang terselamat dan berjaya melarikan diri ke bandar berhampiran Tawila memberitahu AFP bahawa mereka menyaksikan kanak-kanak ditembak di hadapan ibu bapa mereka, manakala orang awam dipukul dan dirompak ketika cuba melarikan diri.
Rapid Support Forces (RSF) yang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023, menawan El-Fasher pada Ahad lalu selepas mengepungnya selama 18 bulan.
Sejak kejatuhan bandar itu, laporan berkenaan pembunuhan kejam, keganasan seksual, serangan terhadap pekerja bantuan, rompakan dan penculikan terus berlaku, manakala sambungan komunikasi di kawasan itu masih terputus hampir sepenuhnya.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 65,000 orang telah melarikan diri dari El-Fasher, namun puluhan ribu lagi masih terperangkap di dalam bandar itu.
Sebelum serangan terakhir RSF, El-Fasher mempunyai kira-kira 260,000 penduduk. - AFP