fb fb fb fb fb

Monyet hidup ditemui disembunyikan dalam beg di Thailand

FOTO REUTERS


BANGKOK, 19 Februari
-
Berpuluh-puluh monyet hidup diikat dalam guni kecil ditemui di bangunan terbengkalai di bahagian tengah Thailand.

Kesemua monyet ditinggalkan di kawasan itu setelah dipercayai gagal di seludup keluar oleh pedagang haram hidupan liar.

Rakaman penyiar Nation TV menunjukkan polis dan pegawai perlindungan hidupan liar di dalam bangunan di wilayah Saraburi itu dengan beg jaring berwarna biru dengan monyet di dalamnya.

Video itu menunjukkan beberapa monyet cuba melarikan diri walaupun masih berada dalam beg yang diikat dengan tali dan ikatan zip plastik.

Wirom Wanalee, seorang penduduk, memberitahu Nation TV bunyi daripada 100 monyet itu membawa dia dan jirannya ke lokasi tersebut sebelum bertindak melepaskan kebanyakan monyet dengan menggunting beg dan melaporkan penemuan itu kepada polis.

Jabatan Taman Negara Thailand belum memberi respons terhadap penemuan itu namun telah menyelamatkan monyet terbabit dan dibawa ke pusat kuarantin hidupan liar.

Pegawai daripada jabatan taman itu tiba untuk mengambil baki monyet dan membawa monyet itu ke pusat kuarantin hidupan liar berhampiran ibu kota Bangkok, menurut Nation TV.

Thailand dan Asia Tenggara mempunyai flora dan fauna paling pelbagai di dunia tetapi rantau itu turut mengalami pemburuan dan pemerdagangan haram meluas hidupan liar.

Pandemik COVID-19 menghentikan sebahagian besar perdagangan lumayan itu, tetapi ia kini semakin aktif semula selepas negara menarik balik sekatan sempadan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - REUTERS

Media Baharu