fb fb fb fb fb

Budak lelaki jatuh perigi di Afghanistan, meninggal dunia

FOTO AFP


KANDAHAR, 19 Februari
-
Belum reda kesedihan kisah kematian Rayyan Awram, 5 tahun yang maut terperangkap dalam perigi di Maghribi, awal bulan ini, seorang lagi kanak-kanak dikenali Haider di Afghanistan pula ditemukan meninggal dunia akibat insiden sama.

Selepas lebih 70 jam berusaha menyelamatkan Haider yang terperangkap dalam sebuah telaga sedalam 20 meter di Zabul sejak Selasa lalu, Kementerian Dalam Negeri Afghanistan menerusi ciapan di Twitter mengesahkan, kanak-kanak itu gagal diselamatkan.

"Dengan kesedihan yang mendalam, Haider yang masih muda dipisahkan daripada kami selama-lamanya," ciap penasihat kanan kementerian dalam negeri Taliban, Anas Haqqani, dalam twitter yang dikongsi oleh beberapa rakannya.

Kanak-kanak itu, Selasa lalu terjatuh ke dasar perigi sedalam 20 meter yang digali di Shokak, sebuah perkampungan kering di wilayah Zabul, kira-kira 400 kilometer (km) di barat daya ibu kota Kabul.

Pasukan penyelamat bekerja tanpa henti untuk cuba menyelamatkan budak lelaki itu, yang menurut pegawai masih hidup, sebelum kemudiannya mengumumkan dia telah meninggal dunia.

Mayatnya berjaya ditemui kira-kira pukul 10:30 pagi waktu tempatan.

Jurucakap kementerian, Anas Haqqani memberitahu, walaupun segala usaha telah dilakukan, Haider gagal diselamatkan.

Ketika usaha menyelamat, berpuluh-puluh penggali dan jentolak digunakan untuk menggali lubang besar berhampiran telaga bagi menyelamatkan Haider.

Kerja-kerja menyelamat kelihatan sama seperti yang dilakukan ketika insiden seperti itu berlaku ke atas Rayyan.

Operasi menyelamat turut dipantau pemangku Menteri Pertahanan kerajaan interim Taliban, Mullah Mohammad Yaqoob.- AFP

Media Baharu