fb fb fb fb fb

Rusia maklum mula undur ketenteraan di sempadan Ukraine

FOTO AFP

(Imej satelit menunjukkan kedudukan kenderaan berperisai di landasan kereta api Yevpatoria, Crimea pada 15 Februari 2022)

 

MOSCOW, 18 Februari- Tentera Rusia menyatakan mereka mula memindahkan kereta kebal dan kenderaan perisai lain dari kawasan berhampiran sempadan Ukraine.

“Satu lagi kereta api tentera yang membawa anggota dan peralatan ketenteraan milik unit kereta kebal Barat kembali ke pangkalan di wilayah Nizhny Novgorod selepas menyelesaikan latihan seperti dijadualkan," kata Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan.

Secara berasingan, kenyataan itu menyebut 10 pesawat perang Su-24 telah ditempatkan semula dari semenanjung Crimea ke lapangan terbang di wilayah lain.

Pengunduran oleh pihak Rusia yang diumumkan pada Jumaat adalah perkembangan terbaru pertikaian Rusia dan sekutunya dengan negara-negara barat berhubung isu Ukraine.

Barat mendakwa Moscow telah melakukan provokasi di sempadan Ukraine dan meningkatkan kebimbangan serantau sehingga amaran serangan Rusia terhadap wilayah itu dikeluarkan. Tindakan itu muncul selepas Moscow menugaskan puluhan ribu tentera ke Crimea dan kawasan sempadan Ukraine atas alasan latihan ketenteraan. 

Washington dalam reaksinya menyifatkan, pengumuman pengunduran itu tidak memberi makna besar, sebaliknya berkata Rusia sebenarnya meningkatkan pasukan tenteranya di sekitar sempadan.

Sementara itu, konflik Rusia – Ukraine itu diburukkan lagi dengan perkembangan semasa di Belarus. 

Presiden, Alexander Lukashenko akan ke Moscow lewat hari ini untuk bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin; difahamkan untuk berbincang mengenai langkah susulan untuk program integrasi Rusia-Belarus.

Pada Khamis, Lukashenko menyatakan bahawa Belarus bersedia menjadi tuan rumah untuk senjata nuklear jika ancaman pihak luar berterusan. -AFP

Media Baharu