fb fb fb fb fb

Polio liar jenis 1 dikesan di Malawi, kes pertama di benua Afrika dalam tempoh lima tahun




GENEVA, 18 Februari- Pihak berkuasa kesihatan di Malawi telah mengisytiharkan wabak virus polio liar jenis 1 selepas satu kes dikesan pada kanak-kanak di ibu negara Lilongwe.

Ini adalah kes pertama poliovirus liar di Afrika dalam tempoh lebih lima tahun, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO pada Khamis.

Analisis makmal menunjukkan kes yang dikesan dikaitkan penularan dari Wilayah Sindh di Pakistan yang mana penyakit tersebut kekal endemik di Pakistan dan jirannya Afghanistan.

"Sebagai kes import dari Pakistan, pengesanan ini tidak menjejaskan status pensijilan bebas poliovirus liar di rantau Afrika," kata WHO.

Afrika diisytiharkan bebas daripada polio liar asli pada Ogos 2020 selepas menghapuskan semua bentuk polio liar.

Tiada kes Polio berlaku di benua itu sejak empat tahun lalu.

"Berikutan pengesanan Polio liar di Malawi, kami mengambil langkah segera untuk menghalang potensi penyebarannya," kata pengarah wilayah Afrika WHO Matshidiso Moeti dalam satu kenyataan.

"Terima kasih kepada tahap pengawasan Polio yang tinggi di benua dan keupayaan untuk mengesan virus dengan cepat, kami boleh melancarkan tindak balas pantas dan melindungi kanak-kanak daripada penyakit ini."

WHO berkata ia menyokong Malawi dalam menjalankan penilaian risiko dan tindak balas wabak, termasuk vaksinasi tambahan.

Pengawasan terhadap penyakit itu sedang dipertingkatkan di negara jiran.

"Kes terakhir poliovirus liar di Afrika dikenal pasti di utara Nigeria pada 2016 dan secara global hanya terdapat lima kes pada 2021," kata Dr. Modjirom Ndoutabe, penyelaras WHO polio rantau Afrika.

Poliomielitis istilah perubatan untuk Polio dan merupakan virus yang sangat mudah berjangkit dan menyerang saraf tunjang serta menyebabkan lumpuh yang tidak dapat dipulihkan pada kanak-kanak.

Poliovirus biasanya merebak dalam najis orang yang dijangkiti dan dijangkiti melalui air atau makanan yang tercemar. Ia membiak dalam usus.

Walaupun tiada ubat untuk Polio, vaksinasi penting untuk mengelakkan daripada dijangkiti sekali gus memutuskan kitaran penularan.

Penyakit Polio adalah endemik di seluruh dunia sehingga vaksin ditemui pada tahun 1950-an, namun ia masih tidak dapat dilenyapkan di kebanyakan negara miskin di Asia dan Afrika sehingga kebelakangan ini.

Pada tahun 1996, terdapat lebih daripada 70,000 kes di Afrika sahaja.- AFP

Media Baharu