fb fb fb fb fb

Modi tawar pelaburan mobiliti di India, kerajaan jamin sokongan

Foto Reuters

NEW DELHI, 17 Januari- India menawarkan peluang pelaburan dalam bidang mobiliti, selari potensi negara itu sebagai pasaran kereta ketiga terbesar di dunia.

Perdana Menteri India, Narendra Modi turut menegaskan bahawa ia disusuli jaminan dan sokongan kerajaan di setiap peringkat.

"Industri automotif India, yang mencatatkan pertumbuhan sekitar 12 peratus tahun lalu, dijangka terus berkembang hasil faktor seperti populasi muda yang besar, kelas pertengahan yang semakin meningkat dan urbanisasi yang pesat," kata Modi.

Beliau berkata demikian di Pameran Mobiliti Global Bharat di New Delhi di hadapan eksekutif global dan tempatan, termasuk Presiden Suzuki Motor Corp, Toshihiro Suzuki, serta Pengarah Urusan Mahindra dan Mahindra, Anish Shah.

“Niat dan komitmen kerajaan persekutuan sangat jelas. Sama ada dasar baharu perlu digubal atau reformasi dilaksanakan, usaha kami sentiasa diteruskan. Kini, anda perlu memanfaatkannya dan mengembangkannya,” tambah Modi.

Beliau turut menekankan pembangunan India dalam tenaga solar, selain akan meningkatkan permintaan untuk sistem penyimpanan bateri.

“Ini adalah masa terbaik untuk pelaburan besar dalam sektor ini. Saya juga mengajak sebanyak mungkin golongan muda untuk memulakan syarikat baharu dalam sektor penyimpanan tenaga,” katanya.

India turut menarik perhatian pelabur asing seperti Tesla milik Elon Musk ke dalam pasaran India.

Menurut penganalisis, boleh merangsang lebih banyak pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV) serta menguntungkan pengeluar komponen kereta tempatan.

Pasaran EV India merangkumi sekitar 2 peratus daripada jumlah jualan kereta sebanyak 4 juta pada tahun 2023.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM