fb fb fb fb fb

Kes rasuah berprofil tinggi, Imran Khan dan isteri dihukum penjara

Foto AFP

RAWALPINDI, 17 Januari- Mahkamah di Pakistan pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, serta hukuman tujuh tahun penjara kepada isterinya, Bushra Bibi, dalam kes rasuah berprofil tinggi.

“Hujah pendakwaan berjaya dibuktikan. Khan didapati bersalah,” kata Hakim Nasir Javed Rana ketika mengumumkan keputusan itu.

Pasangan tersebut disabitkan bersalah berkaitan yayasan kebajikan yang mereka tubuhkan bersama, dikenali sebagai Al-Qadir Trust.

Mahkamah anti rasuah bersidang di dalam penjara berhampiran ibu negara Islamabad, di mana Khan sedang ditahan sejak Ogos 2023 atas sekitar 200 tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik bagi menghalangnya kembali berkuasa.

Bushra Bibi, yang baru-baru ini dibebaskan dengan ikat jamin, ditahan semula selepas sabitan, menurut jurucakapnya, Mashal Yousafzai.

Parti Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), menyatakan akan mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Sabitan tersebut berlaku sehari selepas pertemuan antara pemimpin PTI dan kerajaan untuk meredakan ketegangan politik.

Khan, 72, sebelum ini telah disabitkan kesalahan empat kali sejak penahanannya, di mana dua daripadanya dibatalkan dan dua lagi digantung.

Namun, beliau kekal ditahan atas kes Al-Qadir Trust dan pertuduhan lain berkaitan insiden protes.

Penganalisis menyatakan bahawa populariti Khan terus mengancam kerajaan gabungan yang lemah, yang menghalang PTI daripada berkuasa dalam pilihan raya lalu.

Walaupun berdepan halangan politik dan undang-undang, Khan kekal lantang menentang pihak berkuasa dan berjanji untuk meneruskan perjuangannya melalui mahkamah.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM