fb fb fb fb fb

Latihan ketenteraan, punca hutan di Jepun terbakar

Foto AFP

TOKYO, 19 Januari- Anggota bomba dan aset helikopter dikerah untuk pemadaman kebakaran hutan di sebuah pulau di Jepun, hari ini.

Menurut laporan media, kebakaran mungkin berpunca daripada latihan ketenteraan di kawasan berhampiran.

Syarikat penyiaran awam, NHK menunjukkan rakaman langsung api marak membakar kawasan hutan di lereng bukit di wilayah Hiroshima barat, dengan asap tebal memenuhi ruang udara.

Kebakaran tersebut berlaku selepas pihak berkuasa mengeluarkan nasihat cuaca kering di Hiroshima selatan susulan tempoh panjang tanpa hujan, di mana penduduk dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengendalikan api.

"Hutan berkenaan terletak berhampiran kawasan latihan menembak milik Pasukan Pertahanan Diri Maritim (MSDF), yang sedang menjalankan latihan bahan letupan sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan).

Bahan serbuk letupan digunakan dalam latihan tersebut dan insiden tersebut masih dalam siasatan sama ada bahan letupan itu menjadi punca kebakaran," kata seorang jurucakap kepada AFP.

Setakat ini, kira-kira 60 anggota bomba dan empat helikopter telah digerakkan untuk memadamkan kebakaran, yang telah memusnahkan sekurang-kurangnya dua hektar hutan, menurut jabatan bomba tempatan.

Tiada kecederaan dilaporkan, namun pihak berkuasa telah menggesa kira-kira 150 penduduk di sebuah rumah penjagaan berhampiran untuk bersiap sedia bagi proses pemindahan sekiranya kebakaran merebak.

Hutan tersebut terletak di daerah Etajima, Hiroshima, sebuah pulau yang mempunyai lebih 20,000 penduduk.

Jepun mencatatkan tahun 2024 sebagai tahun paling panas sejak rekod bermula pada 1898, seiring dengan negara-negara lain apabila pelepasan gas rumah kaca yang meningkat terus memacu perubahan iklim.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM