DAMSYIK, 17 Januari- Ketua Pengurusan Krisis Kesatuan Eropah (EU), Hadja Lahbib, mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan bernilai €235 juta (RM1.2 bilion) untuk Syria dan negara-negara jiran.
Perkara itu dinyatakan ketika dalam lawatan rasmi pertama pegawai kanan EU itu dalam sidang media di Damsyik, sejak kejatuhan Bashar al-Assad.
Pakej itu bertujuan memenuhi keperluan asas seperti tempat perlindungan, makanan, air bersih, sanitasi, penjagaan kesihatan, pendidikan, dan bantuan kecemasan selepas bertemu pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa.
"Kami mengharapkan pihak berkuasa memastikan akses tanpa sekatan dan selamat untuk sukarelawan kemanusiaan ke semua wilayah Syria, termasuk kawasan sukar dicapai dan terjejas konflik di Asia Barat," tambah beliau.
Sharaa, pemimpin kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS), mengetuai serangan pemberontak yang menumbangkan Assad pada 8 Disember lalu.
Kerajaan interim Syria kini ditugaskan mentadbir negara sehingga 1 Mac, dengan HTS berusaha meyakinkan masyarakat minoriti bahawa undang-undang dan hak asasi akan dihormati.
"Kami berada di titik perubahan dan keputusan yang akan diambil dalam beberapa hari dan bulan mendatang amat penting," kata Lahbib, menyeru pentadbiran baharu membina masa depan inklusif untuk semua rakyat Syria.
EU juga menekankan kepentingan menghormati kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, dan hak wanita sebagai langkah membina semula kepercayaan antarabangsa terhadap Syria.
Dalam lawatan itu, Lahbib turut membincangkan isu pelonggaran sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Syria semasa perang saudara bermula pada 2011.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menyeru kajian semula segera terhadap sekatan kerana kesannya terhadap hak-hak rakyat Syria.
Lawatan Lahbib menyusuli kunjungan beberapa pemimpin dunia lain, termasuk Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani.- AFP