KIEV, 17 Januari- Serangan Rusia di bandar perindustrian Kryvyi Rig, Ukraine pada Jumaat mengorbankan empat nyawa dan mencederakan beberapa yang lain.
Menurut gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Sergiy Lysak, bandar yang juga merupakan kampung halaman Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, telah menjadi sasaran serangan berterusan sejak pencerobohan Kremlin bermula pada Februari 2022.
Lysak melaporkan bahawa tiga wanita dan seorang lelaki terbunuh dalam serangan itu manakala lima lagi mengalami kecederaan, dengan tiga daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke hospital.
"Bangunan kediaman dan sebuah institusi pendidikan telah rosak, dengan kebakaran berlaku di salah satu bangunan yang terjejas," kata Lysak.
Pesuruhjaya hak asasi manusia Ukraine, Dmytro Lubinets menyatakan bahawa serangan itu menggunakan peluru berpandu balistik.
Serangan itu sekali gus melanggar Konvensyen Geneva, yang melarang serangan ke atas kawasan awam serta menjamin perlindungan orang awam semasa perang.
"Rusia sekali lagi secara sinis melanggar Konvensyen Geneva," katanya dalam satu kenyataan.
Kryvyi Rig, yang terletak sekitar 80 kilometer dari barisan hadapan, mempunyai populasi kira-kira 600,000 orang sebelum pencerobohan Rusia bermula.
Serangan tersebut berlaku sehari selepas Kiev mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu ke wilayah Belgorod di Rusia, yang mensasarkan sistem pertahanan udara dan merosakkan radar tentera.
Ukraine juga memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya telah menembak jatuh 33 dron Rusia di 11 wilayah pada waktu malam.
Moscow belum memberikan sebarang komen berhubung serangan di Kryvyi Rig.- AFP