ISTANBUL, 18 Disember- Pasukan penyelamat Turkiye telah menamatkan operasi mencari mangsa di penjara Saydnaya yang terkenal di Syria selepas gagal menemui sebarang tahanan dalam sel tersembunyi itu.
Menurut Ketua Agensi Bantuan Bencana Turkiye (AFAD), Okay Memis, pencarian itu dilakukan atas permintaan pihak berkuasa baharu Syria selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan oleh kumpulan penentang kerajaan pada 8 Disember lalu.
Operasi yang melibatkan 120 anggota itu menggunakan alat pengimbas untuk menganalisis seluruh bangunan, namun tiada individu yang masih hidup ditemukan.
Penjara Saydnaya yang pernah menjadi lokasi pelanggaran hak asasi manusia seperti penyeksaan dan pembunuhan di luar undang-undang telah menyaksikan tahanannya dibebaskan oleh kumpulan terbabit minggu lalu.
Walaupun terdapat dakwaan bahawa kompleks penjara terbabit mempunyai sel tersembunyi bawah tanah, pencarian oleh pasukan White Helmets Syria juga tidak menemui bukti baharu dan operasi mereka turut ditamatkan pada Selasa.
Laporan daripada Persatuan Tahanan dan Orang Hilang Penjara Saydnaya (ADMSP) menyatakan bahawa dakwaan mengenai kewujudan sel tersembunyi adalah tidak berasas.
Menurut Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria, lebih 100,000 orang telah meninggal dunia dalam penjara dan pusat tahanan di Syria sejak perang saudara meletus pada 2011. -AFP