PORT VILA, 18 Disember- Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud melanda ibu negara Vanuatu, Port Vila pada Selasa mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 kematian serta lebih 200 orang cedera.
Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan termasuk sebuah kedai tiga tingkat yang runtuh sepenuhnya.
Keadaan menjadi semakin genting apabila ada suara mangsa masih kedengaran daripada bawah runtuhan tebal yang dipenuhi serpihan konkrit.
Setakat ini, tiga mangsa telah berjaya dikeluarkan, namun seorang daripadanya meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Selain itu, empat bangunan utama di Port Vila dilaporkan runtuh termasuk sebuah blok diplomatik, sementara tanah runtuh turut menimbus sebuah bas dan memusnahkan dua jambatan utama.
Hospital utama di Port Vila mengalami kerosakan sehingga memaksa khemah kecemasan didirikan di luar untuk merawat mangsa yang cedera.
Dalam pada itu, komunikasi terputus di kebanyakan kawasan manakala penerbangan terpaksa ditangguhkan kerana kerosakan landasan yang dilaporkan.
Bagi mengatasi situasi tersebut, Australia dan New Zealand segera mengumumkan rancangan untuk menghantar pasukan penyelamat serta perubatan bagi membantu operasi kecemasan.
Menurut laporan awal oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 116,000 orang mungkin terkesan akibat gempa terbabit, dengan kerosakan infrastruktur yang meluas memburukkan lagi keadaan.
Vanuatu merupakan salah satu negara paling terdedah kepada bencana alam seperti gempa bumi, ribut dan tsunami, menjadikan tragedi itu satu lagi peringatan terhadap risiko tersebut. -AFP
BERITA BERKAITAN