fb fb fb fb fb

Misi kesedaran menjelang COP 30, aktivis alam sekitar Brazil berbasikal 3,500km

Aktivis alam sekitar dan ahli geografi Brazil, Leonardo Costa/REUTERS

BRASILIA, 9 Oktober- Aktivis alam sekitar dan ahli geografi Brazil, Leonardo Costa berbasikal sejauh 3,500 kilometer dari Rio de Janeiro ke Belem, dalam usaha meningkatkan kesedaran dunia mengenai perubahan iklim dan kelestarian menjelang Sidang Kemuncak Iklim (COP 30).

Costa tiba di ibu negara Brazil pada Selasa (7 Oktober) sebelum bertemu Duta Belgium, Chris Hoornaert serta wakil kedutaan Belanda pada Rabu (8 Oktober) dua pihak yang turut menyokong misi berbasikalnya merentasi Brazil.

“Saya mula merangka projek ini untuk menghubungkan Eco 92 dengan COP 30, kerana boleh dianggap bahawa persidangan COP pertama sebenarnya bermula dengan Eco 92 di Rio de Janeiro,” katanya merujuk kepada Sidang Kemuncak Bumi 1992 yang menjadi titik tolak perbincangan global mengenai perubahan iklim.

“Tiada simbolik yang lebih bermakna daripada menghubungkan Eco 92 di Rio dengan COP 30 di Belem,” jelas Costa lagi.

Beliau menegaskan bahawa misinya bukan sekadar kayuhan fizikal, tetapi juga bertujuan mengunjungi kawasan berisiko dan sekolah untuk menjelaskan kesan perubahan iklim terhadap kehidupan seharian masyarakat.

Costa turut menekankan berbasikal sebagai penyelesaian praktikal untuk mengurangkan penggunaan tenaga khususnya dalam bandar-bandar besar, langkah kecil yang mampu memberi impak besar.

Tambahnya, perbincangan mengenai agenda perubahan iklim perlu didedahkan ke bandar, sekolah dan komuniti, tempat di mana “kehidupan sebenar berlaku”.

Usaha itu bakal membantu masyarakat lebih memahami peranan mereka bahawa kesan cuaca ekstrem mampu ditangani bersama. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM