fb fb fb fb fb

Minyak Sawit: Ahli Parlimen Indonesia minta semakan larangan eksport

(Pekerja memuatkan tandan buah kelapa sawit untuk diangkut dari tapak pungutan ke kilang
di Pekanbaru, wilayah Riau, Indonesia, 27 April 2022/FOTO REUTERS)


JAKARTA, 19 Mei- Ahli Parlimen Indonesia hari ini meminta kerajaannya mengkaji semula larangan eksport minyak sawit, kerana kumpulan industri memberi amaran salah satu penyumbang ekonomi utama negara itu mungkin terhenti beberapa minggu akan datang apabila penyimpanan menghampiri kapasiti penuh.

Indonesia, pengeksport minyak sawit terkemuka dunia, sejak 28 April lalu menghentikan eksport minyak sawit mentah (MSM) dan beberapa produk hasil dari tanaman itu, dalam usaha untuk mengimbangi harga minyak masak domestik yang melonjak tinggi.

Dalam perbincangan ringkas dengan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, ahli jawatankuasa bajet Parlimen berkata, mereka menggesa kerajaan menilai larangan eksport MSM, biarpun tanpa membincangkan dasar itu secara terperinci.

Sri Mulyani memberitahu pemberita beliau akan membangkitkan permintaan mereka untuk mengkaji semula larangan eksport dengan Presiden Joko Widodo.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Industri Minyak Sayur Indonesia (GIMNI), Sahat Sinaga, berkata industri minyak sawit berisiko menghentikan operasinya jika larangan eksport tidak ditarik balik menjelang akhir bulan.

Sahat berkata, Indonesia mempunyai kira-kira enam juta tan kapasiti penyimpanan, termasuk di pelabuhan, dengan stok domestiknya sudah mencapai kira-kira 5.8 juta tan pada awal Mei.

Data daripada Persatuan Minyak Sawit Indonesia hari ini menunjukkan bahawa stok domestik meningkat kepada 5.68 juta tan menjelang akhir Mac, meningkat daripada 5.05 juta tan sebulan sebelumnya.

(Pekebun sawit Indonesia mengambil bahagian dalam protes mahukan kerajaan
menghentikan larangan mengeksport minyak sawit/ FOTO REUTERS)

Indonesia juga melaksanakan sekatan eksport separa antara penghujung Januari hingga pertengahan Mac.

"Anggaran kami jika tiada eksport menjelang akhir Mei semuanya akan tersekat, tangki semua akan penuh," katanya.

Indonesia biasanya hanya menggunakan 35 peratus daripada pengeluaran minyak sawit tahunannya untuk domestik, kebanyakannya untuk makanan dan bahan api.

Setiausaha Agung Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Eddy Martono, menganggarkan industri itu akan berhenti berfungsi menjelang pertengahan Jun.

Eddy berkata, beberapa syarikat sudah pun menghentikan pembelian buah sawit di luar ladang mereka dan memperlahankan penuaian di ladang mereka sendiri.

"Sekarang syarikat memanjangkan selang antara penuaian sehingga gambaran lebih jelas mengenai jualannya," katanya.

Sahat berkata, larangan itu berlaku apabila pengeluaran buah sawit biasanya tinggi, namun disebabkan larangan eksport, kemungkinan hanya separuh daripada pengeluaran buah dapat diserap.

Ratusan petani kelapa sawit minggu ini mengadakan perhimpunan di ibu kota Jakarta dan bahagian lain di negara itu untuk membantah kemerosotan pendapatan mereka.

Larangan eksport itu dianggar mengurangkan hasil kerajaan sebanyak enam trilion rupiah (RM1.79 bilion) sebulan, kata Sri Mulyani kepada pemberita selepas jawatankuasa itu meluluskan permintaannya untuk subsidi tenaga tambahan. -REUTERS

Media Baharu