BUENOS AIRES, 20 November- Presiden baharu Argentina, Javier Milei yang memenangi pilihan raya Presiden pada Ahad berikrar akan mengakhiri masalah kemelesetan ekonomi serta inflasi negara itu yang kini mencecah 143 peratus.
Milei turut berjanji akan mengembalikan kegemilangan Argentina yang pernah menjadi salah satu negara terkaya di dunia satu ketika dahulu yang disekat di bawah Pakatan 'Peronis' yang berbelanja besar dalam soal kebajikan dan urus tadbir.
Bercakap selepas kemenangan besar dalam pilihan raya Milei berikrar bahawa kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan bersikap monopoli , menghormati harta persendirian dan perdagangan bebas sambil menambah model ekonomi lapuk telah berakhir.
"Hari ini bermula pembinaan semula Argentina. Hari ini juga bermula penghujung kemerosotan Argentina.
"Hari ini menamatkan model miskin negara yang ada di mana-mana, yang hanya menguntungkan sesetengah pihak manakala majoriti menderita, kata Milei.
Milei dalam pada itu turut menyenaraikan pelbagai masalah yang di hadapi negara Amerika Selatan itu termasuk tahap kemiskinan sebanyak 40 peratus, selain menyeru menerima idea kebebasan sebagai jalan penyelesaian masalah.
"Hari ini satu cara berpolitik telah berakhir dan satu lagi telah bermula.
"Walaupun keadaan suram, saya ingin memberitahu anda bahawa Argentina mempunyai masa depan. Masa depan itu wujud, jika masa depan itu liberal", kata Milei.
Ahad lalu, Javier Milei memenangi pilihan raya Presiden Argentina selepas menewaskan seorang lagi calon iaitu Sergio Massa dengan memperoleh undian sebanyak 55.8 peratus.-AFP