KIEV, 20 November - Kira-kira 3,000 trak kebanyakannya dari Ukraine, termasuk yang membawa bahan api dan bantuan kemanusiaan tersekat di bahagian sempadan Poland semalam akibat sekatan lebih 10 hari oleh pemandu lori Poland, kata pihak berkuasa Ukraine.
Pemandu lori Poland awal bulan ini menyekat jalan ke tiga persimpangan sempadan dengan Ukraine untuk membantah tindakan kerajaan yang dilihat tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kerugian perniagaan kepada pesaing asing sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Pegawai Ukraine berkata minggu lalu Kiev dan Warsaw sekali lagi gagal mencapai persetujuan untuk menghentikan bantahan tersebut.
“Selama lebih 10 hari, pemandu Ukraine disekat di sempadan Poland. Beribu-ribu orang terpaksa hidup dalam keadaan yang sukar dengan makanan, air dan bahan api yang terhad,” kata Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Oleksandr Kubrakov di X.
Sementara itu, Timbalan Menteri Infrastruktur Ukraine, Serhiy Derkach berkata terdapat peningkatan kes dimana trak yang membawa bahan api dan bantuan kemanusiaan yang seharusnya dipastikan melintas tanpa halangan, terperangkap dalam barisan sekatan itu.
"Kami telah menyampaikan maklumat mengenai kes ini kepada rakan sekerja kami dari Poland dan sedang menunggu jawapan," kata Derkach di laman Facebooknya.
Tambah Derkach, kementeriannya pada Ahad telah menghantar makanan, air dan ubat kepada pemandu yang terperangkap di persimpangan Krakivets dan Rava-Ruska.
"Satu lagi kargo sokongan sedang disediakan untuk pemandu yang tersepit di lintasan Dorohusk. Keadaan di sana tidak kurang kritikal dimana lebih daripada 1,200 trak sedang beratur," katanya.
Agensi berita negara Poland (PAP) melaporkan bahawa persimpangan Poland-Ukraine yang paling sibuk di Medyka mungkin juga disekat mulai awal minggu ini.
Persimpangan Medyka terletak di seberang sempadan dari persimpangan Shehyni di Ukraine.
Bantahan di Medyka bermakna empat atau separuh daripada lintasan sempadan Poland-Ukraine berkemungkinan akan disekat mulai minggu ini.
Dorohusk berkata, purata 40,000 hingga 50,000 trak melintasi sempadan di Poland setiap bulan melalui lapan lintasan sedia ada, dua kali lebih banyak daripada sebelum perang dimana sebahagian besar barang dibawa oleh armada pengangkutan Ukraine.
"Sekarang hanya beberapa kenderaan dalam tempoh satu jam melalui sempadan Poland di pusat pemeriksaan yang disekat, kata pengawal sempadan Ukraine.
Broker bijirin Ukraine berkata penghantaran makanan Ukraine melalui jalan raya menurun 2.7 peratus dalam 13 hari pertama bulan ini disebabkan kesukaran di sempadan Poland yang disebabkan oleh mogok pemandu.-REUTERS