fb fb fb fb fb

Houthi tawan kapal milik ahli perniagaan Israel

Jurucakap tentera kumpulan Huthi, Yahya Saree mengumumkan kejayaan kumpulan berkenaan menawan kapal milik ahli perniagaan Israel di Laut Merah/FOTO AFP

HODEIDA, 20 November -Kumpulan pejuang Yaman, Houthi berkata, mereka telah menawan sebuah kapal dipercayai dimiliki oleh seorang ahli perniagaan Israel dan mengarahkan kapal berkenaan ke pantai Yaman.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas kumpulan disokong Iran itu mengancam untuk menyasarkan kapal Israel di lautan susulan perang Israel-Hamas di Gaza.

Jurucakap kumpulan Houthi, Yahya Saree dalam satu kenyataan di X berkata mereka telah menawan kapal Israel tersebut dan mengarahkannya ke pantai Yaman.

"Kumpulan Houthi akan terus melakukan operasi ketenteraan menentang Israel sehingga keganasan dan jenayah perang terhadap saudara kami di Gaza dan Tebing Barat dihentikan", kata Saree.

Dalam pada itu, sumber maritim Yaman mengesahkan kumpulan Houthi telah menawan sebuah kapal komersial dan telah membawa kapal tersebut ke pelabuhan Salif berhampiran bandar Hodeida yang berada di bawah kawalan Houthi.

Sumber tersebut bagaimana pun tidak memperincikan negara kapal tersebut didaftarkan.

Merujuk laporan portal Al-Jazeera pula, jurucakap kumpulan Houthi mengesahkan pada Ahad bahawa kumpulan berkenaan telah merampas sebuah kapal kargo Galaxy Leader milik British.

Sekurang-kurangnya 22 orang berada di atas kapal berkenaan dalam perjalanan dari Turkiye ke India.

Minggu lalu, pemimpin Houthi berkata tenteranya akan melakukan serangan serta menyasarkan kapal-kapal Israel di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandeb.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD