(Seorang wanita dari Venezuela menunjukkan mulutnya dijahit sebagai tanda protes
di Istana Kerajaan Nuevo Leon, di ibu kota Monterrey/Syot layar REUTERS)
MONTERREY, 17 Jun - Berpuluh-puluh migran yang terkandas di negeri sempadan Nuevo Leon, di Mexico, "menjahit mulut" mereka pada Rabu lalu (15 Jun).
Tindakan mereka sebagai tanda protes terhadap larangan kerajaan negeri untuk membenarkan mereka berpindah ke sempadan Amerika Syarikat, (AS).
Walaupun mereka mempunyai visa yang membolehkan untuk transit di seluruh Mexico, namun mereka gagal mendapatkan tiket bas ke sempadan Mexico-AS.
(Penunjuk perasaan migran dari Venezuela, Romero Rafael Enir berkata lebih rela mati di Mexico
daripada dihantar pulang ke negaranya di Venezuela/Syot layar REUTERS)
Beberapa penunjuk perasaan tiba di Istana Kerajaan Nuevo Leon, di ibu kota Monterrey sambil mengibarkan bendera negara dan melaungkan "kami mahu pergi".
Bukan itu sahaja, malah mereka protes dengan menunjukkan mulut dijahit sebagai simbolik agar suara mereka didengari.
Seorang migran dari Venezuela memberitahu Reuters dia lebih rela mati di Mexico daripada dihantar pulang ke negaranya di Venezuela.
Bantahan itu dibuat selepas Sidang Kemuncak Amerika yang dihoskan oleh AS, yang mana beberapa siri program migran disokong oleh pelbagai negara telah pun didedahkan.
Program tersebut termasuk Amerika Syarikat dan Kanada yang komited untuk mengambil lebih ramai tenaga buruh yang memberikan perlindungan undang-undang untuk orang ramai datang bekerja. -REUTERS