(Foto hiasan/AFP)
WASHINGTON, 17 Jun– Sekurang-kurangnya dua orang mati dan seorang cedera dalam kejadian tembakan di sebuah gereja di negeri Alabama.
Agensi berita AFP melaporkan, insiden itu berlaku pada Khamis di Gereja St Stephen's Episcopal di bandar Vestavia Hills, menurut kenyataan polis menerusi Facebook. Seorang suspek ditahan susulan kejadian itu.
“Insiden berlaku ketika majlis makan malam berlangsung”, tulis status laman sesawang Gereja St Stephen's Episcopal.
Pegawai polis Shane Ware memberitahu wartawan seorang penyerang dilaporkan masuk ke dalam gereja dan mula melepaskan tembakan. Tiga individu dilaporkan terkenan tembakan, dua orang telah meninggal dunia dan seorang lagi sedang dirawat.
Isu penggunaan senjata api secara tidak terkawal di Amerika Syarikat, (AS) semakin membimbangkan; termasuk kes tembakan di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas yang menyebabkan 19 kanak-kanak dan dua guru maut pada 24 Mei lalu.
Berita berkaitan
Tiga maut, satu cedera kejadian tembakan di AS
Tembakan di Texas: Mangsa pelajar kongsi kisah ngeri
Jumlah korban insiden tembakan rambang di Texas meningkat kepada 21 orang
Sejak awal tahun lebih 20,000 orang terbunuh dalam keganasan pengguna senjata api di AS, menurut badan bukan kerajaan (NGO) – Gun Violence Archive. Jumlah itu termasuk kematian akibat bunuh diri.
(Foto AFP)
Sebelum ini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS melaporkan, jumlah kematian akibat penggunaan senjata api telah mengalami peningkatan pada 2020. 19,350 kes pembunuhan direkodkan pada tahun itu, meningkat hampir 35% berbanding 2019.
Manakala sebanyak 24,245 kes bunuh diri melibatkan senjata api direkodkan, iaitu meningkat sehingga 15% pada tahun sama.
Kadar pembunuhan melibatkan senjata api pada 2020 juga adalah paling tinggi dalam suku abad ini, melibatkan 6.1 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.