PANAMA CITY, 20 Februari-Sekumpulan migran yang diusir dari Amerika Syarikat ke Panama minggu lalu telah dipindahkan pada Selasa malam dari sebuah hotel di ibu negara ke wilayah hutan Darien di selatan negara itu, kata seorang peguam yang mewakili salah sebuah keluarga migran kepada Reuters pada Rabu.
Susana Sabalza, seorang peguam migrasi Panama, memaklumkan bahawa keluarga yang diwakilinya telah dipindahkan ke Meteti, sebuah bandar di Darien, bersama migran lain yang turut diusir.
Akhbar tempatan La Estrella de Panama melaporkan pada Rabu bahawa seramai 170 daripada 299 migran yang ditempatkan di hotel tersebut telah dipindahkan ke Darien.
Kerajaan Panama tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap perkara itu.
Menurut kerajaan Panama, seramai 299 migran telah ditempatkan di sebuah hotel di Panama City di bawah perlindungan pihak berkuasa tempatan dengan sokongan kewangan daripada Amerika Syarikat melalui Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
Para migran tersebut berasal dari Afghanistan, China, India, Iran, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turki, Uzbekistan, dan Vietnam, menurut Presiden Panama, Jose Raul Mulino.
Beliau sebelum ini telah bersetuju dengan AS untuk menerima migran bukan warganegara Panama yang diusir.
Pengusiran migran bukan warga Panama ke negara itu adalah sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk meningkatkan kadar pengusiran pendatang tanpa dokumen di AS.
Salah satu cabaran terhadap rancangan Trump adalah keengganan beberapa negara untuk menerima semula rakyat mereka yang diusir dari AS, sama ada disebabkan hubungan diplomatik yang tegang atau sebab-sebab lain.
Dengan perjanjian bersama Panama, AS dapat mengusir migran dari negara-negara ini, sementara Panama bertanggungjawab mengatur pemulangan mereka ke negara asal atau negara ketiga.
Proses ini mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang bimbang migran mungkin dianiaya atau menghadapi bahaya sekiranya dihantar pulang ke negara asal mereka, terutamanya negara yang mengalami konflik seperti Afghanistan.
Sabalza berkata bahawa beliau tidak dibenarkan menemui anak guamnya semasa mereka berada di hotel di Panama City dan kini sedang memohon kebenaran untuk melawat mereka di lokasi baharu.
Beliau bagaimana pun enggan mendedahkan kewarganegaraan mereka tetapi menyatakan bahawa mereka merupakan sebuah keluarga Muslim yang "berisiko dipancung" jika dihantar pulang.
Beliau juga menyatakan bahawa keluarga tersebut akan memohon suaka di Panama atau mana-mana negara lain yang sudi menerima mereka.
Sebelum ini, Mulino memaklumkan bahawa para migran akan dipindahkan ke sebuah pusat perlindungan di wilayah Darien, yang merangkumi hutan tebal dan berbahaya yang memisahkan Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, laluan ini menjadi koridor utama bagi ratusan ribu migran yang berusaha menuju ke Amerika Syarikat.
Menteri Keselamatan Panama berkata pada Selasa bahawa lebih separuh daripada migran yang diusir dari AS dalam beberapa hari terakhir telah menerima tawaran pemulangan sukarela ke negara asal mereka.
Pada pagi Rabu, hotel di Panama City yang menempatkan migran sebelum ini kelihatan sunyi, menurut seorang saksi Reuters.
Pada Selasa, beberapa migran dilihat berpegangan tangan dan melihat keluar dari tingkap hotel dalam usaha menarik perhatian wartawan.
Menurut laporan media, migran yang ditempatkan di hotel itu tidak dibenarkan keluar.
Pada Rabu, perkhidmatan imigresen Panama mengeluarkan kenyataan bahawa seorang warganegara China, Zheng Lijuan, telah melarikan diri dari hotel tersebut.
Pihak berkuasa meminta beliau untuk kembali dan menuduh pihak luar yang tidak dikenal pasti telah membantunya melarikan diri.-REUTERS.