WASHINGTON, 20 Februari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu memaklumkan pentadbirannya sedang mempertimbangkan alternatif kepada Boeing susulan kelewatan syarikat itu dalam menghantar dua pesawat baharu Air Force One.
"Saya tidak berpuas hati dengan Boeing," katanya kepada pemberita ketika berada di dalam pesawat rasmi sedia ada. "Kami sedang melihat pilihan lain kerana Boeing mengambil masa terlalu lama."
Pada 2018, Boeing bersetuju membekalkan dua pesawat 747-8 menjelang akhir 2024 dengan nilai kontrak AS$3.9 bilion.
Namun, disebabkan kebankrapan salah satu subkontraktor serta gangguan produksi akibat pandemik COVID-19, syarikat itu kini menjangkakan penghantaran hanya dapat dilakukan pada 2027 dan 2028.
Trump turut menyatakan kesediaan untuk mendapatkan pesawat dari negara lain tetapi menolak kemungkinan menggunakan Airbus, syarikat penerbangan pesaing dari Eropah.
Air Force One merupakan pesawat khas yang dilengkapi kemudahan komunikasi berteknologi tinggi, ruang perubatan serta sistem pertahanan.
Pesawat sedia ada kini berdepan peningkatan kos penyelenggaraan serta penggunaan komponen yang semakin usang.
Kenyataan Trump ini memberi satu lagi tamparan kepada Boeing, yang sebelum ini mencatatkan kerugian AS$11.8 bilion tahun lalu.
Syarikat itu turut terkesan akibat mogok pekerja selama lebih tujuh minggu yang menyebabkan dua kilang utama terpaksa ditutup.
Prestasi Boeing turut tercemar berikutan insiden pada Januari 2024 apabila sebuah pesawat 737 MAX milik Alaska Airlines melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami kerosakan pada panel tingkap ketika dalam penerbangan.
Susulan insiden itu, syarikat tersebut berdepan penelitian lebih ketat daripada pengawal selia penerbangan AS serta pengurangan kadar pengeluaran.
Selain itu, Boeing turut terbeban dengan kontrak pertahanan kos tetap warisan lama yang mengakibatkan kerugian kepada syarikat itu.-AFP