fb fb fb fb fb

6 gajah maut dirempuh kereta api di Sri Lanka

FOTO AFP

COLOMBO, 20 Februari- Sebuah kereta api penumpang di Sri Lanka tergelincir pada Khamis selepas merempuh sekumpulan gajah, mengorbankan enam ekor mamalia tersebut dalam insiden membabitkan hidupan liar terburuk di negara itu.

Kejadian berlaku sebelum subuh ketika kereta api ekspres itu dalam perjalanan berhampiran kawasan perlindungan hidupan liar di Habarana, kira-kira 180 kilometer ke timur ibu negara Colombo, apabila ia melanggar kumpulan gajah yang melintasi landasan.

"Kereta api tersebut tergelincir, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang," kata polis, sambil menambah bahawa pihak berkuasa hidupan liar sedang merawat dua ekor gajah yang terselamat dalam nahas itu.

Rakaman selepas kejadian menunjukkan seekor gajah berdiri di sebelah seekor anak gajah yang cedera di tepi landasan, dengan hujung belalai mereka bersentuhan.

Membunuh atau mencederakan gajah adalah kesalahan jenayah di Sri Lanka, yang dianggarkan mempunyai sekitar 7,000 gajah liar.

Haiwan itu dianggap sebagai khazanah negara kerana kepentingannya dalam budaya Buddha.

Pada September 2018, kejadian serupa berlaku di kawasan yang sama apabila sebuah kereta api merempuh dan membunuh dua anak gajah serta ibu mereka yang sedang bunting.

Sejak itu, pihak berkuasa mengarahkan pemandu kereta api supaya mematuhi had kelajuan bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada gajah di kawasan yang sering menjadi laluan haiwan tersebut.

Kematian gajah dalam kejadian terbaru ini berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik antara manusia dan gajah, berikutan habitat semula jadi haiwan itu semakin terancam akibat pencerobohan manusia.

Petani yang bergantung kepada hasil pertanian kecil sering berdepan serangan gajah yang merosakkan tanaman mereka.

Timbalan Menteri Alam Sekitar, Anton Jayakody, memberitahu AFP pada Ahad bahawa sebanyak 150 orang dan 450 gajah maut akibat konflik itu sepanjang tahun 2023, meningkat berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 145 kematian manusia dan 433 kematian gajah, menurut data rasmi.

Jumlah kematian dalam tempoh dua tahun itu mewakili lebih daripada satu persepuluh populasi gajah di Sri Lanka.

Bagaimanapun, Jayakody yakin kerajaan dapat mencari penyelesaian.

"Kami merancang untuk memperkenalkan pelbagai halangan termasuk pagar elektrik, parit, atau kaedah lain bagi menghalang gajah liar daripada memasuki kawasan perkampungan," katanya.

Satu kajian tahun lalu mendapati bahawa gajah Asia menunjukkan tingkah laku berkabung dengan meratapi dan ‘mengebumikan’ anak mereka yang mati, sesuatu yang menyerupai adat pengebumian manusia.

Gajah terkenal dengan sifat sosial dan kerjasama, namun ritual pengebumian anak gajah sebelum ini hanya dikaji secara ringkas dalam kalangan gajah Afrika, sementara tingkah laku serupa dalam spesies Asia masih kurang diterokai, menurut laporan dalam Journal of Threatened Taxa.

Gajah Asia dikategorikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN), dengan populasi liar dianggarkan sekitar 26,000 ekor, kebanyakannya di India dan beberapa negara di Asia Tenggara. Dalam persekitaran semula jadi, mamalia itu boleh hidup sehingga 60 hingga 70 tahun.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE