fb fb fb fb fb

Budak lelaki hilang dibaham buaya

FOTO HIASAN

PONTIANAK, 20 Februari- Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas diserang buaya di Kalimantan, Indonesia, menjadikannya kes kedua dalam tempoh dua minggu, menurut polis pada Khamis.

Indonesia merupakan habitat kepada beberapa spesies buaya yang sering menyerang dan membunuh manusia.

Mangsa berusia 10 tahun itu dikatakan terjun ke dalam sungai di wilayah Kalimantan Barat pada Selasa sebelum diserang seekor buaya sepanjang empat meter, menurut rakannya yang menyaksikan kejadian.

"Rakannya melihat buaya itu timbul semula, menggigit tubuh mangsa dan menyeretnya ke dalam arus sungai," kata Ketua Polis Daerah, Rachmatul Isani Fachri, dalam satu kenyataan.

Bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai insiden itu segera mencari anaknya menggunakan bot laju, namun sehingga kini masih belum ditemui.

"Pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan masih menjalankan pencarian. Mohon doa agar mangsa segera ditemukan," tambah Rachmatul.

Pada 7 Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki lain turut dilaporkan hilang di kampung yang sama selepas diserang buaya ketika mandi, menurut polis.

Pencarian terhadap mangsa, dikenali sebagai Cristian Ricardo, berusia enam tahun, dihentikan selepas tujuh hari dan dia kini dianggap meninggal dunia.

Pulau Borneo, terkenal dengan hutan hujan yang luas serta kepelbagaian hidupan liar, termasuk buaya air masin.

Disember lalu, seorang wanita turut maut diserang buaya ketika bekerja di ladang kelapa sawit di wilayah yang sama, dengan mayatnya kemudian ditemui.

Sementara itu, pada Ogos tahun lalu, seekor buaya membunuh seorang wanita berusia 54 tahun ketika dia sedang mandi di sebuah sungai di Kepulauan Maluku, Indonesia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE