fb fb fb fb fb

BLA mengaku bertanggungjawab tembak mati 7 penumpang bas

FOTO HIASAN

ISLAMABAD, 20 Februari- Kumpulan pemisah di barat daya Pakistan pada Khamis mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang mengorbankan tujuh penumpang bas yang ditembak mati selepas dipaksa turun dari kenderaan itu.

Wilayah Balochistan, yang kaya dengan mineral tetapi miskin dan bergolak, telah lama menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pemisah etnik. Wilayah itu bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

Serangan di kawasan itu semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya terhadap pekerja dari wilayah Punjab, kawasan paling padat dan makmur di Pakistan, serta pusat utama pengambilan anggota tentera.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pemisah Baloch Liberation Army (BLA) mengaku bertanggungjawab atas serangan yang berlaku lewat Selasa, dengan mendakwa sasaran mereka adalah tentera Pakistan dan agensi perisikannya.

“BLA menerima tanggungjawab atas operasi ini dan memberi amaran kepada semua ejen tentera musuh,” menurut kenyataan kumpulan itu.

Bagaimanapun, pegawai kanan kerajaan tempatan, Saadat Hussain, memberitahu AFP bahawa serangan berlaku selepas tayar bas mangsa ditembak, memaksa mereka turun sebelum dibunuh. Kesemua mangsa dipercayai pekerja dari Punjab.

Kumpulan pemisah seperti BLA telah lama melancarkan pemberontakan bagi menuntut autonomi untuk Balochistan, wilayah terbesar tetapi paling kurang penduduk di Pakistan.

Mereka mendakwa kekayaan sumber semula jadi wilayah itu dieksploitasi pihak luar, dengan hasilnya tidak banyak memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Setakat tahun ini, sekurang-kurangnya 68 orang telah terbunuh dalam serangan di Pakistan, kebanyakannya anggota keselamatan yang menjadi sasaran kumpulan militan anti-kerajaan, menurut kiraan AFP.

Tahun lalu, Pakistan mencatatkan tahun paling berdarah dalam sedekad, dengan lebih 1,600 kematian akibat serangan militan, menurut Center for Research and Security Studies yang berpangkalan di Islamabad.

Sebahagian besar keganasan di Pakistan berlaku di kawasan barat negara itu, bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE