fb fb fb fb fb

Setiausaha Perbendaharaan AS dilayan kasar, Trump kecam Zelensky "tidur"

Presiden AS, Donald Trump / REUTERS

WASHINGTON, 20 Februari- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mendakwa Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, telah dilayan secara kasar semasa lawatan rasmi ke Kiev, sambil menuduh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, "tidur" dan gagal mencapai sebarang perjanjian.

Bessent mengadakan pertemuan di ibu negara Ukraine minggu lalu bagi membincangkan cadangan akses Washington terhadap sumber mineral nadir bumi sebagai pertukaran bagi sokongan keselamatan.

"Scott Bessent sebenarnya pergi ke sana tetapi dilayan dengan agak kasar, kerana pada dasarnya mereka memberitahunya 'tidak'," kata Trump kepada pemberita di atas pesawat Air Force One.

"Zelensky pula sedang tidur dan tidak dapat ditemui."

Menurut Trump, Bessent telah melalui perjalanan berjam-jam menaiki kereta api yang dianggap berbahaya bagi seorang pegawai tinggi seperti Setiausaha Perbendaharaan.

"Dia ke sana untuk mendapatkan dokumen untuk ditandatangani, tetapi pulang dengan tangan kosong. Mereka enggan menandatanganinya."

Kenyataan itu dibuat selepas Trump sebelum ini menggelar Zelensky sebagai diktator kerana tidak mengadakan pilihan raya dan mendakwa Rusia mempunyai kelebihan dalam sebarang rundingan untuk menamatkan perang.

"Seorang diktator tanpa pilihan raya. Zelensky perlu bertindak segera atau dia tidak akan memiliki sebuah negara lagi," tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Terdahulu pada hari yang sama, Zelensky membalas kenyataan Trump dengan mendakwa bekas Presiden AS itu hidup dalam gelembung "disinformasi Rusia," sebagai reaksi terhadap kritikan Trump mengenai populariti beliau.

Sejak pencerobohan Rusia pada 2022, AS telah menjadi penyumbang utama dana dan bantuan ketenteraan kepada Ukraine. Namun, Trump telah mencetuskan kebimbangan di Kiev dan kalangan sekutu Eropahnya apabila membuka rundingan dengan Moscow yang dikhuatiri bakal menamatkan perang dengan syarat yang tidak memihak kepada Ukraine.

Trump sebelum ini berulang kali mengkritik pembiayaan ketenteraan AS kepada Ukraine dan mencadangkan akses kepada mineral nadir bumi Ukraine perlu menjadi syarat bagi meneruskan sokongan AS.

Bessent dihantar ke Kiev pada 12 Februari untuk membincangkan perkara itu, menjadikannya anggota kabinet Trump yang pertama melawat Ukraine.

Zelensky dipilih sebagai presiden pada 2019 untuk tempoh lima tahun, namun kekal memegang jawatan di bawah undang-undang darurat yang dikuatkuasakan selepas pencerobohan Rusia pada Februari 2022.

Bawah pentadbiran bekas Presiden Joe Biden, AS menganggap Zelensky sebagai seorang wira dan mengenakan sekatan ketat terhadap Moscow sebagai tindak balas terhadap serangan Rusia ke atas Ukraine.-AFP

 

2002 TRUMP ZELENSKY TIDUTRPresiden Ukraine Volodymyr Zelensky (KANAN) dan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent (KIRI) mengadakan sidang media semasa pertemuan mereka di Kyiv pada 12 Februari 2025 / AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE