SEOUL, 20 Februari – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, menjadi Presiden pertama negara itu yang dihadapkan ke mahkamah berhubung kes jenayah, ketika perbicaraan berhubung percubaannya mengisytiharkan undang-undang tentera bermula pada Khamis.
Yoon, 64, yang merupakan bekas pendakwa raya, telah ditahan sejak bulan lalu atas tuduhan pemberontakan.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Prosiding jenayah bermula pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) di Mahkamah Daerah Pusat Seoul, menurut seorang wartawan AFP yang hadir di bilik perbicaraan.
Dengan kehadiran Yoon, mahkamah dipenuhi dengan pemerhati, sementara kawalan keselamatan diperketat di sekitar bangunan tersebut.
Seorang penyokong Yoon dilihat berpakaian seperti adiwira Captain America di luar perimeter keselamatan.
Pendakwa raya menuduh bekas presiden itu sebagai "dalang utama pemberontakan", namun pasukan pembelaannya menegaskan siasatan ke atasnya tidak sah sejak awal dan mencabar keabsahan pertuduhan tersebut, kerana Yoon mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan undang-undang tentera ketika masih memegang jawatan.
Secara berasingan, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan sedang mempertimbangkan sama ada untuk secara rasmi menyingkirkan Yoon daripada jawatannya selepas beliau dipecat oleh parlimen pada Disember lalu.
Perbicaraan kes pemecatan Yoon dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang, hanya beberapa jam selepas beliau memberi keterangan dalam kes jenayahnya.
Antara saksi utama yang dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Perlembagaan ialah Han Duck-soo, yang turut dipecat sebagai pemangku presiden selepas Yoon digulingkan, serta bekas pegawai kanan perisikan, Hong Jang-won.
Ketua Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan, Cho Ji-ho, yang juga berdepan perbicaraan atas tuduhan pemberontakan berkaitan perintah undang-undang tentera, turut disenaraikan sebagai saksi.
Namun, masih belum jelas sama ada sesi pendengaran itu akan menjadi yang terakhir sebelum lapan hakim Mahkamah Perlembagaan bermesyuarat secara tertutup untuk menentukan nasib Yoon.
Proses deliberasi ini dijangka mengambil masa sehingga dua minggu atau lebih.
Presiden Korea Selatan yang pernah dipecat sebelum ini, Park Geun-hye dan Roh Moo-hyun, masing-masing terpaksa menunggu selama 11 dan 14 hari untuk mengetahui keputusan mahkamah.
Sekiranya Yoon disingkirkan secara rasmi, Korea Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 60 hari.
Sebahagian besar perbicaraan pemecatan Yoon tertumpu pada persoalan sama ada beliau telah melanggar perlembagaan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera, yang sepatutnya hanya digunakan dalam keadaan darurat nasional atau peperangan.
Arahan tersebut hanya bertahan sekitar enam jam sebelum parlimen yang dikuasai pembangkang menolaknya, namun tindakan itu telah mencetuskan krisis politik berbulan-bulan dengan protes jalanan, dua pemecatan presiden, serta peningkatan maklumat palsu dalam talian.
Minggu lalu, peguam Yoon menegaskan bahawa pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas presiden itu adalah "tindakan pentadbiran dan tidak boleh disemak oleh badan kehakiman."-AFP.