fb fb fb fb fb

Mexico: Angka kematian akibat Hurikan Otis meningkat kepada 52

FOTO REUTERS

MOSCOW, 21 Disember- Angka kematian akibat Hurikan Otis yang melanda negeri Guerrero, Mexico pada Oktober kini mencecah 52 orang manakala 32 lagi dilaporkan hilang, lapor Sputnik memetik Gabenor Guerrero Evelyn Salgado pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan tempatan mendedahkan bahawa Otis telah mengorbankan 46 nyawa manakala 58 lagi hilang dan menyebabkan kerosakan serius pada kediaman dan infrastruktur penting.

Salgado berkata menurut data terkini yang dikeluarkan Pejabat Pendakwa Negara sebanyak 52 kematian dilaporkan dan usaha sedang dipergiat untuk menjejaki 32 mangsa yang masih hilang.

Pada November, kerajaan Mexico membentangkan pelan pemulihan bernilai 61.3 bilion peso (US$3.4 bilion) untuk disalurkan kepada majlis perbandaran Acapulco dan Coyuca de Benitez yang terjejas.

Keutamaan kerajaan adalah untuk menyokong keluarga mangsa dan menjejaki mangsa yang hilang.

Bagi melaksanakan tujuan itu, pihak berkuasa Mexico akan membayar faedah kebajikan selama dua bulan, melanjutkan pembayaran di bawah program keselamatan sosial selama enam bulan dan menggaji sekurang-kurangnya 10,000 golongan belia untuk kerja-kerja pembersihan.

Biasiswa untuk pelajar di rantau ini akan digandakan kepada 90,000.

Pada akhir November, Suruhanjaya Eropah mengumumkan peruntukan 1.3 juta euro (US$1.4 juta) bagi membantu pihak berkuasa Mexico menangani keperluan paling mendesak untuk penduduk yang terjejas. - BERNAMA-SPUTNIK

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI