SAN FRANCISCO, 30 April- Meta pada Selasa telah melancarkan aplikasi pembantu kecerdasan buatan (AI) berdikari pertama mereka, yang bersaing dengan ChatGPT dengan menawarkan akses langsung kepada model AI generatif syarikat itu.
Demikian menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, menerusi video yang dikongsi di Instagram.
"Sejuta orang kini menggunakan Meta AI di aplikasi kami, jadi kami mencipta aplikasi Meta AI yang baharu untuk anda cuba.
"Aplikasi ini direka untuk menjadi AI peribadi anda yang boleh diakses terutamanya melalui perbualan suara, dengan interaksi yang disesuaikan mengikut pengguna individu. Kami bermula dengan maklumat asas mengenai minat anda.
"Namun, dari masa ke masa, anda akan dapat memberitahu Meta AI lebih banyak mengenai diri anda dan orang yang anda sayangi melalui aplikasi kami, sekiranya anda mahu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Produk Meta, Chris Cox, berkata aplikasi berkenaan turut membolehkan pengguna melihat siaran yang dihasilkan oleh AI dari pengguna lain.
"Kami belajar dengan melihat orang lain melakukannya, jadi kami masukkan elemen ini terus dalam aplikasi. Anda boleh berkongsi permintaan dan seni anda. Ia amat menyeronokkan," katanya. – AFP