fb fb fb fb fb

Perkhidmatan kesihatan di Gaza semakin lumpuh- PBB

Foto AFP

HAMILTON, 30 April- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Selasa bahawa perkhidmatan kesihatan asas di Semenanjung Gaza kini semakin lumpuh susulan tindakan berterusan pihak berkuasa Israel menghalang akses kepada bahan api dan bantuan penting, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Rakan kemanusiaan kami melaporkan bahawa akses kepada perkhidmatan kesihatan asas masih sangat terhad di seluruh Gaza, khususnya bagi golongan paling rentan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam sidang media.

Beliau berkata lebih 150,000 wanita berisiko mengalami komplikasi kesihatan yang serius.

“Situasi bahan api semakin meruncing, dengan bekalan petrol hampir habis manakala simpanan diesel kini pada tahap kritikal,” katanya sambil menjelaskan baki stok yang ada diutamakan untuk keperluan kesihatan, sanitasi air dan sistem telekomunikasi.

Dujarric turut memaklumkan bahawa rakan-rakan kemanusiaan PBB berulang kali cuba mendapatkan semula bekalan bahan api dari kawasan yang kini tidak boleh diakses, sama ada berada di bawah arahan pemindahan aktif atau di zon larangan yang memerlukan kebenaran khas daripada pihak berkuasa Israel.

“Namun, usaha kami untuk memasuki kawasan ini sering dinafikan.

"Hari ini sahaja, pihak berkuasa Israel menolak cubaan agensi-agensi PBB untuk mengambil bahan api dari Rafah.

“Secara keseluruhan, kami dan rakan-rakan cuba melakukan lima pergerakan berkoordinasi hari ini, namun empat daripadanya ditolak.

"Satu-satunya yang dibenarkan hanyalah pertukaran kakitangan, bukan penghantaran bantuan,” katanya.

Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Hamas yang dimeterai pada 19 Januari.- BERNAMA-ANADOLU

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM