AMERIKA SYARIKAT, 30 April- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa menandatangani satu perintah eksekutif yang bertujuan mengurangkan beban tarif berganda terhadap pengeluar kenderaan termasuk duti import ke atas kenderaan dan komponen seperti keluli serta aluminium.
Langkah itu membolehkan syarikat automotif yang memasang kenderaan di AS menuntut potongan tarif sehingga 15 peratus daripada nilai kenderaan bagi alat ganti yang diimport, sekali gus memberi masa kepada industri berkenaan menyusun semula rantaian bekalan ke dalam negara.
Trump menyifatkan perintah tersebut sebagai “bantuan kecil” sementara kepada pengeluar yang berusaha meningkatkan kapasiti tempatan dan menegaskan pentadbirannya tidak berniat menghukum syarikat kerana ketidakupayaan mendapatkan alat ganti yang diperlukan.
Menurut kenyataan Jabatan Perdagangan AS, inisiatif tersebut tidak memansuhkan tarif 25 peratus yang sedia ada, sebaliknya menawarkan pelepasan bersifat sementara menerusi mekanisme rebat selama dua tahun yang akan dilaksanakan secara berperingkat sebelum ditamatkan.
Bagaimanapun, kumpulan pengeluar antarabangsa Autos Drive America menyifatkan langkah itu belum mencukupi dan menyeru tindakan lanjut bagi merancakkan semula industri automotif di AS.- REUTERS