STOCKHOLM, 30 April- Tiga individu disahkan maut dalam kejadian tembakan di sebuah premis di pusat bandar Uppsala, Sweden pada awal pagi Selasa.
Menurut Polis Sweden, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar kawasan tersebut sebelum menemui beberapa mangsa yang mengalami kecederaan dipercayai akibat tembakan.
"Setakat ini, tiga mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan kes bunuh telah dibuka," menurut kenyataan itu.
Menurut laporan stesen penyiaran SVT, saksi mendakwa suspek melarikan diri menaiki skuter, manakala saluran TV4 pula melaporkan tembakan dilepaskan di dalam sebuah salun rambut di kawasan kejadian.
Sweden sejak beberapa tahun kebelakangan ini bergelut mengekang insiden tembakan dan letupan yang dikaitkan dengan konflik kumpulan jenayah terancang.
Pihak berkuasa memaklumkan, golongan remaja bawah umur sering dijadikan pelaku kerana mereka belum mencapai had umur pertanggungjawaban jenayah.
Pada Januari lalu, polis Sweden melaporkan sebanyak 296 kes tembakan direkodkan sepanjang 2024, menunjukkan penurunan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.- AFP