fb fb fb fb fb

Kim mahu aset Tentera Laut Korea Utara dilengkapi senjata nuklear

Korea Utara melancarkan kapal perang baharu sebagai "senjata paling berkuasa", pada majlis pelancaran yang dihadiri Kim Jong Un/ AFP

SEOUL, 30 April- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan langkah segera perlu diambil untuk mempercepat usaha melengkapkan kapal-kapal tentera laut negara itu dengan senjata nuklear, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Rabu.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas Kim menyaksikan hari pertama ujian ketenteraan selama dua hari ke atas kapal pemusnah terbaru Korea Utara, Choe Hyon.

"Beliau menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk membuat pilihan bagi mempercepat persenjataan nuklear untuk tentera laut.

"Ia bagi mempertahankan kedaulatan negara dan maritim daripada ancaman semasa dan masa depan. Beliau telah mengemukakan pelbagai tugasan untuk merealisasikan matlamat tersebut," menurut laporan KCNA.

Pelancaran kapal Choe Hyon, turut dihadiri Ju Ae, anak perempuan Kim yang dianggap sebagai pewaris kepimpinannya.

Menurut KCNA kapal perang seberat 5,000 tan itu dinamakan sempena pejuang anti-Jepun yang telah meninggal dunia, dan pembinaannya mengambil masa lebih setahun.

Melihat kepada saiznya, para penganalisis percaya kapal itu "mungkin dilengkapi peluru berpandu taktikal nuklear jarak dekat."

KCNA melaporkan bahawa pada 28 April, ujian pelancaran peluru berpandu pelayaran supersonik, peluru berpandu pelayaran strategik, peluru berpandu anti-udara dan meriam automatik berkaliber 127mm yang dipasang di atas kapal telah dilakukan.

"Pada 29 April pula, ujian peluru berpandu taktikal antara kapal, pelbagai jenis meriam automatik, senjata asap dan alat gangguan elektronik turut dilakukan," tambah kenyataan itu.

Mac lalu, Kim turut meninjau projek pembinaan kapal selam berkuasa nuklear dan menegaskan bahawa usaha meningkatkan kekuatan tentera laut secara 'radikal' merupakan elemen utama dalam strategi pertahanan Pyongyang.

Pyongyang Sebelum ini Pyongyang melaporkan dron serangan nuklear bawah air – yang mampu mencetuskan "tsunami radioaktif" – sedang dibangunkan. Namun penganalisis antarabangsa meragui keupayaan sebenar senjata tersebut.

Washington – sekutu keselamatan utama Seoul – sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan latihan ketenteraan bersama dan menambah kehadiran aset strategik Amerika Syarikat (AS) seperti kapal pengangkut pesawat dan kapal selam berkuasa nuklear di sekitar Korea Selatan bagi mengekang ancaman dari Korea Utara.

Pyongyang pula berulang kali mengisytiharkan Korea Utara sebagai negara senjata nuklear dan mengecam latihan ketenteran AS-Korea Selatan sebagai latihan persediaan untuk pencerobohan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI