fb fb fb fb fb

AS tarik diri, jika tiada kemajuan rundingan damai Ukraine-Rusia

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio/Reuters

WASHINGTON, 30 April- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menegaskan bahawa Rusia dan Ukraine perlu mengemukakan cadangan konkrit untuk menamatkan perang dan memberi amaran bahawa AS akan menarik diri sebagai perantara, jika tiada kemajuan.

Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, diplomat AS John Kelley menyalahkan Rusia atas keganasan berterusan dan menyifatkan serangan mereka telah menyebabkan kehilangan nyawa orang awam.

Rubio, melalui jurucakap Jabatan Negara, berkata kedua-dua pihak perlu tampil dengan pelan konkrit untuk menyelesaikan konflik.

Jika tidak, AS, di bawah arahan Presiden Donald Trump, akan mempertimbang untuk berundur dari peranan sebagai pengantara.

Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini mengumumkan gencatan senjata tiga hari bermula 8 Mei sempena ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Dunia Kedua.

Namun, Ukraine mempertikaikan langkah itu dan mencadangkan gencatan selama sekurang-kurangnya 30 hari bermula segera.

AS menyatakan mereka inginkan gencatan senjata yang "lengkap dan berkekalan", bukan semata-mata tempoh pendek untuk meraikan peristiwa tertentu.

Sejak dilantik, Trump telah mengubah pendekatan AS terhadap perang dan mendesak penyelesaian segera.

Beberapa cadangan AS sebelum ini ditolak oleh pegawai Ukraine dan Eropah, yang sebaliknya mengemukakan cadangan balas berkenaan isu wilayah dan sekatan.

Usaha itu menunjukkan kesukaran dalam mencapai kesepakatan.

Di Majlis Keselamatan, Perancis dan Britain menyokong usaha rundingan AS tetapi menyalahkan Rusia.

Perancis menyifatkan Putin sebagai penghalang utama kepada gencatan senjata dengan menuntut penyerahan Ukraine.

Ukraine menegaskan mereka tidak akan menyerah dan tidak akan mengiktiraf mana-mana wilayahnya yang diduduki termasuk Crimea.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM