NEW YORK, 22 Disember- Human Rights Watch (HRW) mendakwa Meta menyekat kandungan pro-Palestin dalam Facebook serta Instagram.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sekali gus mengecam tindakan didakwa sebagai 'penapisan dalam talian secara sistematik' sejak tercetusnya perang Israel-Hamas.
Pemangku Pengarah Bersekutu Bahagian Teknologi dan Hak Asasi Manusia HRW, Deborah Brown, mendakwa tindakan Meta menapis kandungan menyokong Palestin, disifatkan sebagai 'menambah lagi luka' tatkala rakyat Palestin kini berdepan kekejaman.
Memetik portal HRW, lebih 1,050 'penarikan keluar dan sekatan lain terhadap kandungan' dalam Instagram serta Facebook dari lebih 60 negara sepanjang tempoh Oktober hingga November lalu.
Ia merangkumi penarikan keluar hantaran, cerita serta komen dan menggantung atau melumpuhkan akaun.
Selain itu, menyekat ciri tertentu seperti keupayaan pengguna untuk terbabit dengan hantaran atau mengikuti akaun tertentu serta membataskan kenampakan kandungan pengguna.