KAHERAH, 24 Disember – Mesir akan menghantar tentera sertai misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia, kata Menteri Luarnya pada Isnin, ketika hubungan antara kedua-dua negara semakin erat di tengah ketegangan dengan Ethiopia berhubung pengiktirafan Somaliland.
"Mesir telah memutuskan untuk menyertai misi ini berdasarkan permintaan kerajaan Somalia dan sokongan Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika," kata Badr Abdelatty dalam sidang media di sini sempena lawatan Menteri Luar Somalia.
Misi penstabilan dan sokongan Kesatuan Afrika, dikenali sebagai AUSSOM, akan menggantikan misi antikeganasan yang bakal berakhir tahun ini.
Pertikaian antara Ethiopia dan Somalia tercetus awal tahun ini susulan rancangan Addis Ababa untuk membina pelabuhan di wilayah Somaliland yang memisahkan diri, sekali gus mencetuskan ketegangan dengan kuasa serantau serta mengancam kestabilan di Tanduk Afrika. selepas rundingan yang diselia oleh Turkiye, Somalia dan Ethiopia bersetuju untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.
"Kami membincangkan situasi di Somalia dan sokongan Mesir terhadap usaha Somalia untuk menegakkan kuasa dan kedaulatan ke atas semua wilayah negara tersebut, serta menolak sebarang tindakan sepihak yang menjejaskan perpaduan, kedaulatan dan keselamatan Somalia," tambah Abdelatty.
Pertelingkahan tersebut telah merapatkan hubungan Somalia dengan Mesir, yang mengkritik perjanjian Somaliland dan telah lama berselisih dengan Ethiopia berhubung pembinaan empangan hidroelektrik di Sungai Nil oleh Addis Ababa.-REUTERS.