THAILAND, 24 Disember- Dua maut manakala sekurang-kurangnya 10 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh kawasan sekolah di Nakhon Ratchasima, Thailand, semalam.
Pemandu yang juga pesara penjawat awam, Somsak Arsaijao, 75, didapati memandu di bawah pengaruh alkohol empat kali melebihi had undang-undang.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta tersebut melanggar kumpulan pelajar yang sedang bersedia untuk pulang.
Mangsa termasuk seorang kanak-kanak tadika berusia empat tahun dan pegawai trafik, Leftenan Polis Wimut Tansupho, meninggal dunia di tempat kejadian.
Tiga mangsa lain mengalami kecederaan serius, manakala tujuh yang lagi, termasuk pelajar, ibu bapa, dan seorang penjaja, dikejarkan ke hospital.
Polis mengesahkan bahawa pemandu tersebut mempunyai 197 miligram alkohol per 100 mililiter darah.
Mejar Jeneral, Narongrit Dansuwan telah mengarahkan tindakan undang-undang maksimum dikenakan terhadap suspek, termasuk tuduhan menyebabkan kematian dan kecederaan parah semasa memandu dalam keadaan mabuk.
Pemandu kini ditahan tanpa jaminan, dengan hukuman maksimum yang bakal dihadapinya adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga THB200,000. - REUTERS