fb fb fb fb fb

UNIFIL, PM Lubnan gesa pengunduran Israel

Kenderaan berperisai UNIFIL membuat rondaan di bandar Khiam, selatan Lubnan / Foto AFP

BEIRUT, 24 Disember- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Perdana Menteri Lubnan menggesa tentera Israel mempercepatkan pengunduran dari negara itu, hampir sebulan selepas gencatan senjata antara Israel-Hizbullah.

"UNIFIL sangat menggesa kemajuan pantas dalam pengunduran IDF (tentera Israel) dan penempatan LAF (tentera Lubnan) di selatan Lubnan.

"Semua pihak diminta menghentikan dan mengelak daripada melanggar resolusi 1701 (Majlis Keselamatan) serta sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan semasa," menurut kenyataan UNIFIL.

Gesaan itu dibuat selepas Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, meminta Amerika Syarikat (AS) dan Perancis mendesak Israel mempercepatkan proses pengunduran.

AS dan Perancis, bersama Lubnan, Israel, dan UNIFIL, membentuk jawatankuasa untuk memastikan komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat dalam gencatan senjata, selain menangani sebarang pelanggaran.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, tentera Lubnan dan pasukan pengaman UNIFIL akan ditempatkan di selatan Lubnan, sementara tentera Israel dijangka berundur dalam tempoh 60 hari.

Pada 11 Disember, tentera Lubnan melaporkan penempatan mereka di sekitar Khiam, lima kilometer dari sempadan, dengan kerjasama UNIFIL, selepas pengunduran tentera Israel dari kawasan itu. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM