fb fb fb fb fb

13 maut, empat lagi cedera kilang bom meletup

FOTO HIASAN

ISTANBUL, 24 Disember- Satu letupan kuat pada Selasa telah menggegarkan sebuah kilang bahan letupan di barat laut Turkiye, mengorbankan 13 orang dan mencederakan empat yang lain, menurut pihak berkuasa.

Rakaman menunjukkan serpihan kaca dan logam bertaburan di luar kilang tersebut dengan ambulans dilihat berada di lokasi.

"Menurut laporan awal, 12 pekerja meninggal dunia dan empat lagi dibawa ke hospital akibat kecederaan," kata gabenor tempatan, Ismail Ustaoglu.

"Saya mendoakan rahmat Allah ke atas rakyat kita yang terkorban dan kesembuhan segera buat mereka yang cedera," tambahnya.

Pihak berkuasa berkata kecederaan yang dialami mangsa tidak serius.

Letupan itu berlaku pada pukul 8.25 pagi di bahagian kilang yang dikatakan runtuh akibat kuasa letupan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, menyatakan punca kejadian masih belum diketahui namun menolak sebarang kemungkinan berkaitan sabotaj.

"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Pendakwa raya telah melancarkan siasatan menyeluruh.

Kilang tersebut, yang terletak di utara Balikesir, menghasilkan peluru, bahan letupan dan suar untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Turkiye kini menjadi pengeksport utama dalam industri pertahanan, terutamanya dalam penghasilan dron, dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan menjadi penyokong utama industri ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE