fb fb fb fb fb

Musk umum syarikat pemula xAI berjaya kumpul AS$6 bilion

FOTO REUTERS

PARIS, 24 Disember- Jutawan dan mogul teknologi, Elon Musk, menerusi syarikat permulaan miliknya, xAI, mengumumkan bahawa ia telah berjaya mengumpul AS$6 bilion daripada pelabur dalam pusingan pembiayaan terbaharunya.

Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika ia berdepan persaingan sengit dalam pasaran kecerdasan buatan (AI).

Firma itu, yang produk utamanya ialah chatbot Grok, mendapat sokongan daripada pelabur modal teroka AS, pengeluar cip NVIDIA dan AMD, serta dana pelaburan dari Arab Saudi dan Qatar.

Walaupun Musk sering memberi amaran bahawa AI boleh menjadi ancaman kepada tamadun manusia, beliau tetap giat berusaha merebut bahagian pelaburan dalam sektor ini. xAI sebelum ini juga telah mengumpul AS$6 bilion pada bulan Mei.

Kini, syarikat itu menjadi salah satu syarikat pemula paling bernilai di dunia dengan anggaran penilaian AS$50 bilion, walaupun masih jauh berbanding pesaing utama, OpenAI, yang dianggarkan bernilai AS$157 bilion.

Ketika mengumumkan pembiayaan pada Isnin, xAI menyatakan bahawa ia akan menggunakan suntikan dana tersebut untuk menghasilkan produk inovatif yang akan dimanfaatkan oleh berbilion orang.

Firma itu juga merancang untuk mempercepat penyelidikan dan pembangunan teknologi masa depan yang memungkinkan misi syarikat untuk memahami sifat sebenar alam semesta.

Musk, yang juga merupakan bos SpaceX dan Tesla serta penyokong utama Donald Trump, menulis di akaun X miliknya bahawa banyak keupayaan pengkomputeran diperlukan untuk menggerakkan produk AI.

Beliau melancarkan syarikat tersebut pada Julai 2023, tidak lama selepas menandatangani surat terbuka yang menyeru jeda dalam pembangunan model AI berkuasa tinggi.

Pada masa ini, Musk sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembuat ChatGPT, OpenAI, yang beliau sendiri tubuhkan sebagai organisasi bukan untung pada 2015 sebelum keluar pada 2018. -AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE