fb fb fb fb fb

Menyeimbang keperluan sosial dan ekonomi, Perancis longgar arahan pengasingan

FOTO AFP

PERANCIS, 2 Januari- Bermula Isnin ini, Perancis akan melaksanakan peraturan pengasingan COVID-19 lebih longgar.

Kerajaan mengumumkan langkah itu bagi mengurangkan kesan terhadap masyarakat dan ekonomi.

Hanya penduduk yang lengkap dos vaksin dan diuji positif dibenarkan menjalani pengasingan selama 7 hari tanpa mengira jenis varian yang dijangkiti, namun boleh menamatkannya selepas hari ke-5 sekiranya hasil ujian PCR, negatif.

Kuarantin tidak diwajibkan kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap dan ada kontak rapat serta diuji positif COVID-19.

Bagaimanapun penduduk masih perlu mematuhi langkah pencegahan dan menjalani ujian wajib, kata Menteri Kesihatan Olivier Veran dalam temu bual bersama jurnal tempatan.

Sehingga hari ini, penduduk Perancis yang diuji positif perlu menjalani pengasingan selama 10 hari termasuk kontak rapat mereka juga kuarantin di rumah untuk tempoh seminggu.

Tempoh pengasingan maksimum boleh mencecah sehingga 17 hari bergantung kepada jenis varian sekiranya salah seorang anggota keluarga positif COVID-19.

"Perubahan dalam peraturan adalah tindak balas kepada keperluan serta mengambil kira evolusi penyebaran pantas Omicron di Perancis. Ia sepatutnya menyeimbangkan antara risiko dan manfaat bertujuan memastikan virus dapat dikawal dan pada masa sama mengekalkan kehidupan sosioekonomi", kata Kementerian Kesihatan. - AFP

Media Baharu