TEL AVIV, 5 Januari- Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada Khamis membentangkan rancangan pentadbiran selepas perang di Semenanjung Gaza, mengatakan Hamas mahu pun Israel tidak akan mentadbir wilayah Palestin selepas peperangan berakhir.
Gallant mendedahkan garis besar rancangannya untuk "hari selepas" perang kepada akhbar sebelum menyerahkannya kepada kabinet Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang telah dibahagikan dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai masa depan Gaza selepas penggulingan Hamas, yang telah memerintah sejak 2007.
Di bawah rancangan itu, serangan Israel di wilayah itu akan berterusan sehingga mereka mendapat semula tebusan yang diambil pada 7 Oktober tahun lalu.
Selain membongkar "keupayaan tentera dan pemerintahan" Hamas, dan menghapuskan sebarang ancaman ketenteraan yang masih ada.
Selepas itu, katanya fasa baharu akan bermula di mana "Hamas tidak akan mengawal Gaza dan tidak akan menimbulkan ancaman keselamatan kepada rakyat Israel".
Pelan itu menyatakan Israel berhak untuk beroperasi di dalam wilayah itu tetapi "tiada kehadiran orang awam Israel di Semenanjung Gaza selepas matlamat perang telah dicapai".
Terdahulu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir berkata, perang di Gaza adalah peluang untuk menggalakkan rakyat Palestin berhijrah dari wilayah tersebut.
Seruan itu telah mendapat kecaman dari negara-negara Arab, serta dari sekutu utama Amerika Syarikat.
"Penduduk Gaza adalah warga Palestin, oleh itu badan Palestin akan bertanggungjawab, dengan syarat tidak akan ada tindakan bermusuhan atau ancaman terhadap Israel," kata Gallant.
Ujarnya, entiti yang mengawal wilayah itu akan membina keupayaan mekanisme pentadbiran sedia ada (jawatankuasa awam) di Gaza.
Washington telah mencadangkan Gaza ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin yang "dihidupkan semula", yang berpangkalan di Tebing Barat, wilayah diduduki.
Dalam temu bual dengan Financial Times, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata sebarang pengaturan mesti melibatkan "penyelesaian politik untuk seluruh Palestin", bukan hanya Gaza.
“Israel mahu memisahkan Gaza dari Tebing Barat secara politik.
“Saya tidak fikir Israel akan meninggalkan Gaza tidak lama lagi. Saya fikir Israel akan mewujudkan pentadbiran awamnya sendiri yang berfungsi di bawah tentera penjajah Israel. Dan oleh itu isu 'hari selepasnya' masih belum jelas," kata Shtayyeh.
Rancangan Gallant dibuat pada malam sebelum lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang dalam perjalanan ke Timur Tengah untuk mendesak lebih banyak bantuan kemanusiaan untuk Gaza dan untuk mengelakkan sebarang peningkatan konflik serantau. - AFP