fb fb fb fb fb

Menteri Luar Perancis cuba halang konflik Israel-Hezbollah

Stephane Sejourne/REUTERS

BEIRUT, 28 April- Menteri Luar Perancis Stephane Sejourne bercadang untuk menghalang perang antara Israel dan Hezbollah yang disokong Iran semasa lawatan ke Lubnan.

Pada masa sama Paris berusaha untuk memperhalusi pelan hala tuju yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak untuk meredakan ketegangan.

Perancis pernah mempunyai hubungan dengan Lubnan. Awal tahun ini Stephane Sejourne menyampaikan inisiatif yang mencadangkan unit elit Hezbollah untuk berundur 10 kilometer dari sempadan Israel selain meminta Israel akan menghentikan serangan di selatan Lubnan.

Namun kedua-dua negara masih mempunyai konflik berikutan serangan yang dilakukan oleh rejim zionis ISrael ke atas kedutaan Iran di ibu negara Syria Damsyik yang membunuh anggota Kor Pengawal Revolusi Iran.

Cadangan Perancis, telah dibincangkan bersama-sama Amerika Syarikat namun tidak menunjukkan sebarang keputusan. Namun Paris mengekalkan momentum dalam perbincangan dan menekankan kepada pegawai Lubnan bahawa ancaman Israel terhadap operasi ketenteraan di selatan Lubnan harus dipandang serius.

Hezbollah menegaskan ia tidak akan memasuki sebarang perbincangan konkrit sehingga terdapat gencatan senjata di Gaza yang telah memasuki bulan ke-6.

Perdana Menteri Lubnan Najib Nikati dan Ketua Tentera Lubnan Joseph Aoun bertemu Presiden Perancis Emmanuel Macron awal bulan ini untuk membincangkan cadangan itu.

Kementerian Luar Lubnan berkata, Beirut percaya inisiatif Perancis akan menjadi langkah penting ke arah keamanan dan keselamatan di Lubnan dan wilayah yang lebih luas.

Media tempatan Lubnan melaporkan kerajaan negara itu telah memberikan maklum balas kepada Perancis mengenai cadangan berkenaan.

Bagaimanapun Israel kekal berhati-hati terhadap inisiatif Perancis.

Perancis mempunyai 700 tentera yang berada di selatan Lubnan sebagai sebahagian daripada 10,000 pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai berkata tentera PBB tidak dapat melaksanakan mandat mereka dan sebahagian daripada cadangan Perancis bertujuan untuk meningkatkan misi dengan mengukuhkan tentera Lubnan.

Selepas Lubnan, Sejourne akan menuju ke Arab Saudi sebelum ke Israel.

Menteri Luar Arab dan Barat, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken, akan mengadakan perbincangan tidak rasmi di luar acara Forum Ekonomi Dunia di Riyadh untuk membincangkan perang Gaza bersama-sama Presiden Palestin Mahmoud Abbas.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI