fb fb fb fb fb

Rusia sasar kemudahan laluan bekalan gas EU - Zelenskiy

Volodymyr Zelenskiy/REUTERS

KIEV, 28 April- Rusia menyasarkan serangan ke atas sektor tenaga Ukraine yang dijadikan laluan untuk membekalkan kemudahan gas kepada Kesatuan Eropah, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy.

Bagaimanapun Rusia terus membekalkan gas kepada EU bawah perjanjian transit dengan Gazprom yang akan tamat pada Disember.

Menteri Tenaga Ukraine berkata, Kiev tidak bercadang untuk melanjutkan atau menggantikan perjanjian dengan Moscow.

"Sasaran utama ialah sektor tenaga, pelbagai kemudahan dalam industri, kedua-dua kemudahan transit elektrik dan gas, khususnya, kemudahan gas adalah penting untuk memastikan penghantaran selamat ke Kesatuan Eropah," kata Zelenskiy dalam satu ucapan video.

Menurut Zelenskiy, tentera Ukraine "berjaya menembak jatuh beberapa" daripada 34 peluru berpandu Rusia pelbagai jenis.

Sementara itu perusahaan minyak dan gas milik kerajaan Ukraine, Naftogaz berkata, Rusia telah menyerang kemudahannya tetapi serangan itu tidak menjejaskan orang awam dan menyekat bekalan kepada pengguna.

Gabenor Wilayah Lviv, Maksym Kozytskyi berkata, wilayah itu mengalami serangan semasa serangan peluru berpandu jelajah dan peluru berpandu hipersonik Kinzhal.

Beliau berkata dua objek infrastruktur tenaga kritikal di daerah Stryi dan Chervonohrad telah rosak dan terbakar.

Zelenskiy mengulangi rayuannya kerana Ukraine memerlukan sekurang-kurangnya tujuh sistem pertahanan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI