fb fb fb fb fb

Menteri Luar Iran baharu seru dialog dengan EU

Menteri Luar Negeri Iran, Abbas Araghchi / Foto AFP

TEHRAN, 23 Ogos - Menteri Luar Negeri Iran yang baharu, Abbas Araghchi menyeru dialog dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk menyelesaikan isu-isu dua hala, susulan panggilan telefon dengan diplomat tertinggi blok tersebut.

"Republik Islam Iran mengalu-alukan perkembangan hubungan dengan Kesatuan Eropah dalam suasana berdasarkan penghormatan bersama," kata Araghchi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Khamis.

Hubungan antara EU dan Iran telah merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Blok tersebut menuduh Tehran gagal mengekang aktiviti nuklearnya, memberikan sokongan kepada kumpulan pejuang Palestin Hamas, menyokong perang Rusia di Ukraine, dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia.

Perkembangan hubungan ini "memerlukan dialog untuk menyelesaikan isu-isu antara kedua-dua pihak dan pembetulan dasar-dasar salah negara-negara Eropah," tambah Araghchi.

Ketua dasar luar EU, Josep Borrell berkata di platform media sosial X bahawa beliau telah membincangkan "prospek untuk pembaharuan penglibatan dalam semua perkara yang mempunyai kepentingan bersama" dengan rakan sejawatannya dari Iran.

Perbincangan itu termasuk "keperluan untuk meredakan ketegangan dan bertindak dengan berhati-hati" serta "menghentikan kerjasama ketenteraan" dengan Rusia terhadap Ukraine dan ketidakproliferasian nuklear.

Borrell berkata "dialog kritikal" seperti itu adalah "penting untuk mengurangkan ketegangan serantau".

Iran dan sekutunya di Lubnan, Hezbollah, mengancam tindakan balas terhadap Israel susulan pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, di Tehran dan komander tertinggi Hezbollah di Beirut pada akhir bulan lalu.

Araghchi, yang memulakan tugasnya pada Rabu, dikenali kerana keterbukaannya kepada Barat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Perunding nuklear dan memainkan peranan penting dalam memastikan perjanjian 2015 yang mana Iran mengurangkan aktiviti nuklearnya sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan.

Perjanjian itu digagalkan pada tahun 2018 oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump.

Usaha untuk menghidupkannya semula sejak 2022 setakat ini masih belum berjaya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN