SYDNEY, 23 Ogos - Seekor paus bongkok muda dibebaskan pada Jumaat selepas terjerat dalam tali dan pelampung di pelabuhan bandar terbesar Australia selama 22 jam.
Penyelamat di Sydney menerima panggilan pada petang Khamis bahawa paus itu telah terjerat dan mereka bergegas untuk menyelamatkannya.
Menjelang subuh, penyelamat mengikuti paus tersebut dengan menaiki bot getah dan menggunakan peralatan khas untuk menahan paus di tempatnya sementara anggota penyelamat memotong serpihan yang terjerat.
Paus itu dibebaskan sejurus sebelum tengah hari pada Jumaat dan berenang ke lautan terbuka selepas melalui tempoh sukar selama 22 jam.
Jessica Fox, dari Organisasi Penyelamatan dan Penyelidikan Cetacea di Australia berkata usaha untuk menyelamatkan paus itu adalah "luar biasa."
“Bukan perkara luar biasa bagi seekor paus untuk memasuki Sydney Heads, mereka muncul dari semasa ke semasa,namun untuk seekor paus terjerat di Pelabuhan Sydney adalah sangat jarang berlaku.”
Selama beberapa dekad, populasi paus bongkok diburu hingga hampir pupus.
Pada satu ketika hanya dianggarkan terdapat 1,500 ekor paus ini yang tinggal di perairan Australia.
Namun, mereka adalah kisah kejayaan pemuliharaan yang jarang berlaku selepas perlindungan global diberikan kepada paus pada tahun 1965.
Jumlah paus bongkok kini melebihi 40,000, satu angka yang hampir kepada tahap sebelum pemburuan paus dan haiwan marin ini telah dikeluarkan dari senarai spesies terancam di Australia.
“Dengan semakin banyak paus di lautan dan lebih ramai manusia di lautan, potensi untuk konflik akan meningkat,” kata Fox.-AFP